'Kasihan nasib Asri Janggut dicari polis'

Mohd Asri dan Ahmad Zahid
Mohd Asri dan Ahmad Zahid
A
A
A

KUALA LUMPUR - Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menyuarakan rasa kasihan dengan nasib pengasas Hot Burger Malaysia, Mohd Asri Hamid yang kini dicari polis dan menyokong tindakan penutupan premis judi disegerakan pihak berkuasa.

Menerusi hantaran di laman sosial Facebooknya, Ahmad Zahid berpendapat mustahil Mohd Asri yang sebelum ini mendakwa sudah mengemukakan aduan berhubung operasi premis judi dan premis menjual rokok seludup di sekitar Sungai Buloh, Selangor kepada pihak berkuasa, membuat fitnah.

Menurutnya, Mohd Asri yang juga pemilik Facebook Hot Burger Malaysia sebenarnya hanya mahu tindakan penguatkuasaan dijalankan secara berkesan.

"Saya kasihan dengan nasib pengasas Hot Burger. Mustahil dia buat fitnah. Kepentingan dia cuma mahu penguatkuasa dijalankan secara berkesan.

"Secara peribadi saya menyokong tindakan penutupan premis judi disegerakan," katanya dalam laman Facebook rasmi hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan polis akan memanggil Mohd Asri bagi membantu siasatan berhubung video tular yang mendakwa pihak berkuasa tidak melakukan pemantauan terhadap kegiatan perjudian dan penjualan rokok seludup di kawasan Sungai Buloh.

Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Shafa'aton Abu Bakar berkata, Mohd Asri yang disyaki menularkan video berkenaan akan dipanggil dalam masa terdekat.

Beliau berkata, video yang tular di media sosial itu boleh menimbulkan fitnah dan merosakkan imej polis dalam menangani kegiatan perjudian di Sungai Buloh.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, Mohd Asri dalam satu kenyataan susulan mengakui kesal dengan keputusan polis dan mengharapkan Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador, membanteras kegiatan berkenaan.

Dalam pada itu, Ahmad Zahid turut berpandangan aktiviti judi haram semakin berleluasa di negara ini.

"Aktiviti judi haram berleluasa. Menjadi mangsa mereka yang berpendapatan rendah tetapi mahu cepat kaya. Akhirnya mereka merana,"katanya.