Tumpu pembangunan lokaliti

Aminudin menanam pokok selepas berucap semasa Perhimpunan Pagi Bersama Penjawat Awam Daerah Klang di Dewan Serbaguna PTD Klang, hari ini.
Aminudin menanam pokok selepas berucap semasa Perhimpunan Pagi Bersama Penjawat Awam Daerah Klang di Dewan Serbaguna PTD Klang, hari ini.
A
A
A

KLANG - Kerajaan negeri akan memberi tumpuan kepada pembangunan Klusterisasi atau Gugusan Ekonomi Selangor bagi merancakkan pertumbuhan ekonomi di negeri ini.

Menteri Besar, Aminudin Shari berkata, setiap daerah atau lokaliti di Selangor mempunyai aset yang berpotensi untuk dibangunkan.

Menurut beliau, Klusterisasi ini bertujuan untuk 'unleash dan unlock' potensi-potensi di setiap gugusan untuk dibangunkan, sekaligus meningkatkan pertumbuhan setempat.

"Contohnya sebelum ini Klang sering menjadi tumpuan industri perkhidmatan logistik dan pembuatan.

"Namun Klang ada beberapa aset pelancongan yang boleh dibangun dan diperhebatkan. Oleh itu kerjasama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) dan Pejabat Daerah diperlukan untuk meneliti aset-aset yang belum diterokai bagi tujuan itu," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap semasa Perhimpunan Pagi Bersama Penjawat Awam Daerah Klang di Dewan Serbaguna Pejabat Daerah dan Tanah (PTD) Klang, hari ini.

Beliau yakin polisi itu mampu menarik pelabur domestik dan antarabangsa selain mewujudkan lebih banyak peluang pekerjaan.

"Klusterisasi ini tidak boleh dicapai dalam masa sehari atau setahun, sebaliknya hasilnya boleh dilihat dalam masa dua hingga tiga tahun dengan syarat perancangan pembangunan perlu dibuat dengan teliti," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, tambah Aminudin, Sungai Klang akan dijadikan sumber ekonomi baharu menerusi Projek Selangor Maritime Gateway (SMG).

"Sungai Klang bakal dijadikan pusat kegiatan ekonomi yang rancak serta berdaya saing," katanya.