X

Kindly register in order to view this article
!

Seramai 7,175 individu pulang ke tanah air sejak 24 Julai lepas

Semua rakyat Malaysia termasuk warga asing yang dibenarkan masuk ke negara ini akan dikenakan kuarantin wajib di 30 hotel serta lima Institut Latihan Awam (ILA). -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Seramai 7,175 individu telah pulang ke tanah air melalui pintu masuk sempadan antarabangsa sejak 24 Julai lepas sehingga kelmarin dan ditempatkan di 30 hotel serta lima Institut Latihan Awam (ILA).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah itu seramai 20 individu dibawa ke hospital untuk rawatan kerana positif Covid-19.

"Mereka telah pulang dari 30 negara iaitu Filipina, Thailand, Indonesia, Kemboja, Singapura, Vietnam, Brunei, Qatar, Pakistan, Arab Saudi, Hong Kong, India, Emiriah Arab Bersatu (UAE), Jepun dan Turki.

"Korea Selatan, Iran, Nepal, Bangladesh, Myanmar, Timor Leste, Taiwan, China, United Kingdom, Belanda, Papua New Guinea, Mesir, Sepanyol, Perancis dan Australia," katanya pada satu kenyataan mengenai perkembangan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di sini semalam.

Mengenai Task Force Operasi Pematuhan yang diketuai Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ismail Sabri berkata, pihak berkuasa itu telah menahan 140 individu atas kesalahan ingkar arahan PKPP.

Jelasnya, daripada jumlah itu, 32 direman manakala 108 individu lagi dikenakan kompaun kerana terlibat dalam aktiviti kehadiran orang ramai yang menyukarkan penjarakkan fizikal.

Sementara itu, beliau berkata, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) membuat pemantauan harian ke atas 12 jenis bekalan barangan di 727 premis perniagaan termasuk peruncit (507), pemborong (191) dan pengilang (29).

Ismail Sabri berkata, pegawai penguat kuasa KPDNHEP juga melakukan 1,355 pemeriksaan khas pematuhan SOP PKPP dan mendapati 1,335 premis mematuhi arahan ditetapkan manakala 18 premis diberi nasihat kerana tidak patuh SOP.

"Secara keseluruhan, bekalan barangan keperluan mencukupi dan mampu menampung keperluan dalam negara yang berterusan dan mudah diperoleh.

"Terdapat dua premis diberi amaran kerana tidak patuh SOP. Dalam tempoh PKPP ini, kerajaan menggesa pengusaha serta orang ramai mengamalkan kawalan kendiri termasuk penjarakkan fizikal dan kebersihan diri terutamanya dalam aktiviti jual beli barangan keperluan harian," katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!