Isteri bukan untuk dipukul

No Image Caption
A
A
A

TERPAMPANG di dada akhbar dan laman media sosial berita seorang pensyarah wanita yang menemui ajal di tangan suaminya sendiri baru-baru ini.

Kes menyayat hati itu menyaksikan mangsa dijerut menggunakan tudung dipercayai oleh suaminya sendiri yang berang apabila mangsa menuntut cerai.

Malangnya, dalam dunia serba moden, dengan gajet hanya di hujung jari, wanita masih terus menjadi mangsa penderaan serta lebih menyayat hati dibunuh oleh lelaki yang pernah berjanji menjadi pelindung mereka.

Amat menyedihkan, dalam kes itu mangsa mempunyai kerjaya profesional dan tahap pendidikan yang tinggi. Sedangkan suspek pula bukan sahaja dikatakan tidak bekerja bahkan didakwa mempunyai hubungan sulit dengan wanita lain.

Di sebalik tragedi malang itu, ternyata di sebalik arus kemodenan dan kerjaya profesional, masih ramai wanita hari ini yang terperangkap dalam kes keganasan rumah tangga yang adakalanya berakhir dengan kematian.

Menurut Pegawai Kanan Advokasi, Pertubuhan Pertolongan Wanita atau Womens Aid Organization (WAO), Rusni Tajari, keganasan rumah tangga bermula apabila pasangan atau sesiapa saja yang berada dalam ruang tempat tinggal bersama merasakan perlu untuk menguasai atau mengawal orang lain.

“Keganasan rumah tangga boleh berlaku kepada sesiapa saja tanpa mengira latar belakang pendidikan dan sosioekonomi seseorang,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Rusni menegaskan, pelaku akan merasakan perlu untuk mengawal pasangan mereka dan tahu bagaimana untuk mengawal secara sistemik dan akan sering menggunakan kuasa untuk membenarkan kelakukan mereka.

Artikel Berkaitan:

“Ada yang masih mempunyai kepercayaan yang sangat tradisional iaitu bahawa mereka mempunyai hak untuk mengawal pasangan mereka dan mereka juga percaya bahawa kedudukan wanita tidak setara dengan lelaki.

“Oleh itu, mereka berhak untuk melakukan keganasan ke atas pasangan dengan alasan untuk memberi pengajaran. Lebih menyedihkan apabila kitaran ini wujud dalam rumah yang mana keganasan dilihat sebagai perkara normal dan membesar dalam persekitaran sebegini,” katanya.

Kes jenayah

Tambahnya lagi, ramai percaya bahawa keganasan rumah tangga merupakan urusan peribadi dan harus ditangani oleh keluarga. Sedangkan keganasan rumah tangga merupakan satu bentuk jenayah di bawah Akta Keganasan Rumah Tangga. Ia harus ditangani dengan sewajarnya melalui undang-undang dan advokasi kepada masyarakat.

Dalam pada itu, Rusni mengakui WAO menerima peningkatan panggilan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan bermula pada bulan Mac hingga Jun 2020.

Dilaporkan kes keganasan rumah tangga meningkat berikutan pelaku berada bersama mangsa untuk tempoh yang panjang sekali gus mencetuskan peluang lebih tinggi untuk berlakunya konflik.

“WAO menerima sebanyak 2,977 panggilan menerusi talian Hotline dan SMS/WhatsApp TINA (Think I Need Aid),” katanya sambil menambah pihak WAO memberikan perkhidmatan percuma kepada mangsa keganasan rumah tangga.

“Perkhidmatan yang diberikan termasuklah rumah perlindungan, kaunseling dan bantuan krisis kepada wanita dan kanak-kanak yang mengalami penderaan,” katanya.

Menurut Rusni, WAO turut terlibat secara langsung dalam Jawatankuasa Menangani Keganasan Rumah Tangga yang ditubuhkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) pada tahun 2019.

“Dengan penambahbaikan Buku Garis Panduan Pengendalian Kes Keganasan Rumah Tangga yang akan dikemas kini tidak lama lagi diharap akan membantu untuk mengurangkan dan menghapuskan kes keganasan terhadap wanita,” katanya.

Sementara itu, Pakar Psikologi Kaunseling Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI), Dr Fauziah Mohd Saad berkata, keganasan rumah tangga atau keganasan domestik boleh melibatkan penderaan secara fizikal, mental, emosi serta seksual.

“Antara punca utama yang menyebabkan isu keganasan rumah tangga terus berlaku ialah pasangan suami isteri tidak memahami tangunggjawab dan hak masing-masing dalam sesebuah perkahwinan,” kata Fauziah kepada Sinar Harian semalam.

Berasa dominan

Tegas beliau, para isteri tidak harus memberi ruang kepada pasangan untuk bertindak agresif dan menjadikan diri mereka seperti punching bag.

“Seringkali isteri banyak mengalah kepada perlakuan agresif suami menjadikan suami berasa dominan sedangkan mereka sepatutnya bersikap tegas dan tidak membiarkan diri disakiti sewenang-wenangnya.

“Selain itu isteri yang berdepan isu penderaan domestik ini masih berasa sayang dan hormat kepada suami menyebabkan mereka tidak mengambil sebarang tindakan. Mereka juga mungkin berasa malu sekiranya penderaan yang berlaku diketahui anak-anak dan ahli keluarga lain menyebabkan mereka hanya berdiam diri,” katanya sambil menambah sikap masyarakat yang tidak biasa berkongsi masalah rumah tangga mengakibatkan isu keganasan domestik semakin serius.

“Keduanya, apabila terdapat jurang ekonomi dan pendidikan antara pasangan berkahwin, seringkali suami akan mula berasa rendah diri dan tercabar dengan kelebihan dimiliki isteri.

“Seterusnya, rumah tangga yang tidak harmoni dan tiada kesefahaman turut menjadi punca yang menyumbang kepada keganasan domestik. Misalnya, jika suami seorang yang agresif dan panas baran, isteri tidak seharusnya mencetuskan provokasi.

“Personaliti suami isteri, latar belakang keluarga seperti cara mereka dibesarkan turut menjadi antara faktor yang menyumbang kepada keganasan domestik.

“Ada kes di mana pasangan yang dibesarkan dalam keluarga agresif cenderung untuk melakukan keganasan domestik,” katanya yang tidak menolak ada kes isteri yang mendera suami termasuk melakukan penderaan fizikal.

Beliau turut menambah, pengambilan dadah serta berjudi, masalah kewangan, cemburu, kewujudan orang ketiga dan tiada didikan agama sempurna turut menjadi antara penyumbang kepada masalah domestik terhadap wanita.

Berpengalaman selama 25 tahun dalam bidang kaunseling, Fauziah menyifatkan kebanyakan kes keganasan domestik akan berakhir dengan isteri kembali kepada pasangan yang mendera mereka kerana masih sayangkan perkahwinan dan memikirkan anak-anak.

“Ada isteri yang didera enggan membuat laporan polis kerana termakan pujuk rayu kemaafan suami yang kononnya akan berubah, ada juga para isteri yang malu sekiranya terpaksa berpisah dengan suami pada usia tua,” katanya.

Menurutnya, keupayaan menguruskan emosi antara pasangan suami isteri dan komunikasi yang baik adalah penting dalam menyelesaikan masalah dalam rumah tangga.