Siasatan kes bunuh pensyarah selesai, motif dikenal pasti: Polis

Siasatan kes bunuh seorang pensyarah universiti tempatan yang mayatnya ditemui di dalam sebuah kereta di pinggir tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya pada awal Khamis lepas dianggap selesai.
Siasatan kes bunuh seorang pensyarah universiti tempatan yang mayatnya ditemui di dalam sebuah kereta di pinggir tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya pada awal Khamis lepas dianggap selesai.
A
A
A

SEPANG - Siasatan kes bunuh seorang pensyarah universiti tempatan yang mayatnya ditemui di dalam sebuah kereta di pinggir tasik PKNS Pinggiran Cyberjaya pada awal Khamis lepas dianggap selesai.

Ketika memaklumkan perkara itu kepada pemberita di sini hari ini, Ketua Polis Selangor, Datuk Noor Azam Jamaludin berkata, ini kerana motif pembunuhan telah dikenal pasti.

"Bagaimanapun siasatan termasuk mencari bukti yang boleh disabitkan dengan perbuatan tetap diteruskan, " katanya ketika ditanya mengenai penugasan Pasukan Polis Marin di kawasan tasik Taman Putra Perdana di Puchong.

Beliau ditemui pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah KLIA di sini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sepang, Asisten Komisioner Wan Kamarul Azran Wan Yusof yang ditemui pemberita pada majlis sama berkata, siasatan mendapati suspek membuat tempahan perkhidmatan e-hailing untuk terus ke lokasi mangsa ditemui.

“Suspek berkata dia mencari isterinya yang tidak pulang, namun menimbulkan keraguan apabila Grab Car yang ditempahnya terus ke lokasi kejadian, sedangkan kalau kita mencari orang hilang, kita akan cari di merata tempat,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira 1 pagi Khamis lalu, pensyarah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia Profesor Madya Dr Maizatulnisa Othman, 40, ditemui mati di dalam sebuah kenderaan berhampiran tasik itu.

Susulan itu, polis menahan seorang lelaki berusia 41 tahun yang juga suami mangsa.

Artikel Berkaitan:

Menurut laporan, suspek dikatakan berpura-pura mencari isterinya dengan ditemani anak perempuan mereka yang berusia 14 tahun menggunakan perkhidmatan e-hailing selepas dipercayai membunuh wanita itu secara menjerutnya dengan tudung yang dipakai mangsa.

Kejadian dipercayai berlaku di Taman Mas, Putra Perdana pada Rabu lepas dan media melaporkan motif pembunuhan disebabkan suspek tidak dapat menerima hakikat isterinya memfailkan pengesahan penceraian.

Mengulas lanjut, Wan Kamarul Azran berkata, polis telah mengambil keterangan anak perempuan mereka dan akan memanggil beberapa individu lain termasuk seorang wanita yang dikaitkan dengan suspek bagi diambil keterangan untuk membantu siasatan kes.

Lelaki itu direman sehingga Khamis ini dan Wan Kamarul Azran tidak menolak polis akan memohon lanjutan perintah reman terhadap suspek yang juga seorang sukarelawan sebuah badan bukan kerajaan.- Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Kes jerut isteri, polis rekod keterangan anak