Pusat penempatan mangsa bencana patuh syariah

Mohd Redzuan
Mohd Redzuan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang terkini bagi pengurusan pusat pemindahan sementara (PPS) dengan mengambil kira pandemik Covid-19.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas), Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata, SOP tersebut telah diedarkan kepada Jawatankuasa Pengurusan Bencana setiap negeri yang terdiri daripada pelbagai agensi berkaitan untuk pelaksanaan.

Menurutnya, SOP yang dikemukakan adalah mematuhi syariah dengan mengasingkan keluarga, lelaki dan wanita bukan muhrim mengikut kesesuaian ruang PPS.

“Dari sudut penyediaan makanan, sumber makanan disediakan oleh penyedia perkhidmatan yang menepati standard halal ditetapkan.

“Di samping itu, ruang ibadat yang disediakan turut diwajibkan mematuhi SOP penjarakan fizikal yang digariskan,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Ahmad Fadhli Shaari (Pas-Pasir Mas) mengenai garis panduan patuh syariah dalam pengurusan dan penempatan mangsa banjir di PPS.

Mengulas lanjut, Mohd Redzuan berkata, Nadma turut menyediakan khemah tertutup yang patuh syariah bagi memberi keselesaan kepada mangsa bencana menukar pakaian atau sebagainya.

Dalam soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) yang meminta Nadma mengambil langkah mengatasi kejadian banjir berulang bagi mengelak pembaziran wang membeli kelengkapan baharu, Mohd Redzuan berkata, tugas Nadma hanya menguruskan dan berfungsi ketika berlaku bencana.

Artikel Berkaitan:

“Sekiranya bencana besar, tugas itu diangkat ke Majlis Keselamatan Negara (MKN).

“Kita boleh beri pandangan berdasarkan pengalaman menguruskan banjir dan memang ada cadangan diangkat ke MKN untuk diperhalusi termasuk menggunakan kepakaran asing,” ujarnya.