Scammer pelaburan 'patuh syariah' guna nama individu ternama

Antara iklan-iklan yang dikesan di media sosial menawarkan pelaburan 'patuh syariah' dan berunsur islamik dengan menyalahgunakan gambar individu terkenal bagi menarik perhatian pelaburan pelabur.
Antara iklan-iklan yang dikesan di media sosial menawarkan pelaburan 'patuh syariah' dan berunsur islamik dengan menyalahgunakan gambar individu terkenal bagi menarik perhatian pelaburan pelabur.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyiasat 186 kes tipu pelaburan 'patuh syariah' membabitkan kerugian mencecah RM5.4 juta.

Setiausaha Polis Diraja Malaysia, Datuk Noorsiah Mohd Saaduddin berkata, pihaknya melalui Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) telah mengesan kewujudan pelbagai iklan pelaburan saham 'islamic' dan 'patuh syariah' yang berleluasa di media sosial.

Menurutnya, menerusi iklan itu, skim pelaburan terbabit menawarkan keuntungan sehingga 50 kali ganda daripada nilai wang yang dilaburkan.

"Malahan, keuntungan juga didakwa akan dibayar seawal tiga jam selepas pelaburan dibuat.

"Lebih membimbangkan, iklan tersebut turut menggunakan gambar individu ternama termasuklah ahli politik, agamawan, selebriti, tokoh korporat dan pempengaruh media sosial dipercayai dengan tujuan untuk menarik perhatian pelabur," katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Beliau berkata, melalui siasatan, individu terbabit tidak terlibat dengan skim pelaburan berkenaan dan tidak pernah memberikan kebenaran untuk gambar mereka digunakan.

Katanya, PDRM mengesahkan telah menerima laporan daripada beberapa individu ternama berkenaan penyalahgunaan gambar terbabit.

"Sebagai langkah pencegahan, PDRM mengingatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan tidak sesekali terpengaruh dengan skim pelaburan yang menawarkan keuntungan yang terlalu lumayan.

"Lakukan semakan terperinci sebelum menyertai mana-mana skim pelaburan," ujarnya.

Tambahnya, dapatkan maklumat lanjut daripada sumber rasmi seperti portal semak mule, alert list Bank Negara Malaysia (BNM) dan Suruhanjaya Sekuriti (SC) sebelum membuat keputusan untuk menyertai skim pelaburan yang meragukan.