Pemancing ikan turut jadi mangsa samseng

No Image Caption
A
A
A

IPOH - Susulan pendedahan Sinar Harian semalam mengenai beberapa bekas lombong yang diteroka secara haram, golongan pemancing turut berkongsi pengalaman berdepan samseng yang menjaga kawasan tersebut.

Seorang pemancing yang mahu dikenali sebagai Abu, 30, berkata, dia sebelum ini sering kali memancing bersama rakan-rakan di kawasan bekas lombong di sekitar Air Kuning dan Sungai Galah.

Menurutnya, ketika mula-mula memancing di kawasan itu beberapa tahun lepas, tiada sebarang masalah dihadapi namun selepas pergi untuk kali ketiga, mereka diberikan amaran dan dihalau dari kawasan bekas lombong itu.

"Saya terkejut apabila seorang lelaki datang secara tiba-tiba bersama beberapa rakannya membuang ikan yang ditangkap itu ke dalam bekas lombong. Mereka menghalau saya dan kawan-kawan mendakwa kawasan bekas lombong itu milik mereka sehingga berlaku pertengkaran.

"Tiba-tiba seorang daripada samseng itu mengacu parang ke arah kami dan mengugut kami supaya beredar. Kami pun beredar sebab tak mahu kejadian tidak diingini berlaku," katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.

Abu berkata, selepas kejadian itu, mereka tidak lagi ke kawasan bekas lombong berkenaan kerana bimbang berdepan ancaman sama dan berlaku pergaduhan.

Menurutnya, laporan polis juga tidak berani dibuat kerana bimbang keselamatan diri diancam oleh samseng tersebut.

Seorang lagi pemancing yang mahu dikenali sebagai Ahmad, 30, berkata, kejadian samseng yang menceroboh kawasan bekas lombong dan mengancam golongan pemancing bukan sahaja berlaku di Perak, malah di tempat-tempat lain.

Artikel Berkaitan:

Katanya, dia mempunyai pengalaman hampir sama di kawasan bekas lombong di Bukit Tagar, Selangor apabila terpaksa berdepan dengan situasi yang mengancam nyawa.

"Saya sendiri pernah diacu senapang patah oleh seorang lelaki yang mendakwa pemilik bekas lombong itu. Satu das tembakan dilepaskan ke udara dan satu lagi di dalam air untuk beri amaran kepada saya.

"Saya sudah jelaskan kepada dia yang saya hanya nak memancing ikan, selepas dapat ikan saya lepaskan semula. Tetapi masih tidak dibenarkan sedangkan kawasan bekas lombong itu tidak pernah dimiliki oleh sesiapa," katanya.

Menurutnya, rakan-rakan pemancing mencadangkan supaya laporan polis dibuat selepas kejadian itu.

Bagaimanapun, katanya, dia tidak berani berbuat demikian kerana bimbang akan keselamatan diri jika pemilik bekas lombong itu bertindak membalas dendam.

Menurutnya, isu penerokaan haram kawasan bekas lombong bukan sahaja menjejaskan nelayan darat tetapi golongan pemancing juga kekurangan tempat untuk menjalankan rekreasi.