Lelaki Bangladesh mengaku salah masuk secara haram

Mohamad Sufian (dua dari kiri) dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa.
Mohamad Sufian (dua dari kiri) dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Sesyen pada Selasa.
A
A
A

MELAKA - Lelaki warga Bangladesh dipenjara tujuh bulan oleh Mahkamah Majistret di sini, pada Selasa selepas mengaku bersalah menetap di negara ini secara haram dan membuat laporan palsu menjadi mangsa samun.

Tertuduh dikenali Mohamad Sufian, 52, membuat pengakuan itu selepas dua pertuduhan terhadapnya dibacakan dihadapan Majistret Sharda Shienha Mohd Suleiman.

Berdasarkan pertuduhan pertama, dia sebagai seorang bukan warganegara Malaysia telah masuk dan berada di negara ini tanpa sebarang pas yang sah di Jalan Kota, di sini, kira-kira jam 3 petang pada 20 Mei lalu.

Bagi kesalahan itu dia didakwa di bawah Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63 (Pindaan 2002) dan dihukum di bawah Seksyen 6 (3) akta yang sama, memperuntukkan denda tidak kurang dari RM10,000 atau penjara lima tahun atau kedua-duanya sekali serta boleh disebat sehingga enam kali, jika sabit kesalahan.

Pertuduhan kedua pula, dia didapati telah membuat laporan palsu kepada Koperal Aidawaty Hussin menyebabkan Inspektor Muhammad Haziq Fathe'li sebagai penjawat awam telah menggunakan kuasa yang sah di sisi undang-undang hingga menyebabkan kegusaran kepada orang lain.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Pejabat Pertanyaan Balai Polis Tanjung Minyak dekat sini pada jam 11.39 pagi hari yang sama.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum enam bulan atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Berdasarkan fakta kes, pengadu, Inspektor Muhammad Haziq menerima laporan polis yang dibuat tertuduh bahawa dirinya disamun dua lelaki yang tidak dikenali.

Namun hasil siasatan yang dijalankan mendapati laporan berkenaan palsu malah semakan cap jari dan biometrik tertuduh di Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) mengesahkan dia tidak mempunyai dokumen pengenalan diri.

Pendakwaan dijalankan Timbalan Pendakwa Raya, Fiqri Hakim Zamri memohon hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada masyarakat.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu hukuman ringan dengan alasan hanya bekerja kilang dan perlu menanggung dua anak dan isteri yang menetap Bangladesh.

Majistret Sharda memutuskan hukuman tujuh bulan penjara bagi kesalahan di bawah Akta Imigresen dan satu bulan penjara kerana membuat laporan palsu yang berjalan serentak dari tarikh ditangkap iaitu 20 Mei lalu.