1,311 peminjam terima pinjaman Hijrah Selangor

Amirudin membuat gimik pelancaran Wisma Kohijrah.
Amirudin membuat gimik pelancaran Wisma Kohijrah.
A
A
A

SHAH ALAM - Yayasan Hijrah Selangor menyerahkan pembiayaan pinjaman kepada 1,311 orang peminjam meliputi jumlah bernilai RM12.6 juta secara keseluruhan.

Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari berkata, jumlah pemberian pembiayaan tersebut membuktikan sikap kepedulian kerajaan negeri dalam membantu meringankan beban ditanggung oleh peniaga dan usahawan di negeri ini.

Menurutnya, bantuan pemberian pinjaman berkenaan mampu menjadi perangsang dan motivasi kepada para usahawan agar lebih mampan, berdaya saing, berinovatif serta kreatif dalam mencari peluang bagi mengembangkan perniagaan mereka.

"Selain itu, penyerahan ini juga sekali gus menyelesaikan isu bayaran tunggakan bayaran pembiayaan yang dihadapi oleh sebilangan peniaga sebelum ini juga," katanya selepas Majlis Perasmian Wisma Koperasu Warga Hijrah Selangor (Kohijrah) dan Penyerahan Pembiayaan Skim Hijrah Selangor hari ini.

Terdahulu, laporan akhbar mendedahkan kira-kira 15 individu mewakili 107 usahawan Melayu cawangan Petaling Jaya Utara menggesa kerajaan negeri Selangor menyegerakan pembayaran pinjaman Hijrah Selangor yang tertangguh sebelum ini.

Bagaimanapun, Pengerusi Eksekutif Yayasan Hijrah Selangor, Datuk Mansor Othman berkata, isu bayaran pembiayaan akan diselesaikan selewat-lewatnya hujung bulan ini.

Mengulas lanjut mengenai isu tersebut, Amirudin berkata kelewatan berkenaan berlaku disebabkan oleh pendaftaran luar biasa yang diterima daripada orang ramai khususnya selepas PRU14 lalu.

"Sebab itu penyerahan ini lewat sedikit kerana kita perlu susun dan atur semua permohonan sehingga ke awal tahun ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, mengulas mengenai penubuhan Kohijrah, Amirudin berkata badan itu dapat menjadi platform alternatif untuk menjalankan aktiviti perniagaan.

Amirudin berkata, jumlah pembiayaan yang telah dikeluarkan oleh Hijrah Selangor sejak penubuhannya sehingga Januari tahun ini melibatkan jumlah peminjam seramai 44,734 orang dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM428,167,500.

Tambahnya, perasmian Wisma Kohijrah mampu menjadi motivasi dan perangsang kepada warga Hijrah Selangor untuk lebih produktif dan progresif pada masa akan datang.

"Saya yakin dengan kemampuan dimiliki oleh Ahli Lembaga Kohijrah dalam merangka pelan strategi yang lebih dinamik dan kreatif," katanya.