Kluster Sivagangga: Penduduk bimbang hantar anak ke sekolah

Penduduk Kampung Bakar Sampah, Alor Setar mengambil langkah pencegahan dan sentiasa berjaga-jaga walaupun mereka yakin kawasan berkenaan bebas penyebaran Covid-19.
Penduduk Kampung Bakar Sampah, Alor Setar mengambil langkah pencegahan dan sentiasa berjaga-jaga walaupun mereka yakin kawasan berkenaan bebas penyebaran Covid-19.
A
A
A

ALOR SETAR - Sebilangan ibu bapa di mukim Derga di sini enggan untuk menghantar anak masing-masing ke sekolah kerana bimbang dijangkiti koronavirus (Covid-19) menerusi Kluster Sivagangga.

Seorang ibu yang hanya mahu dikenali sebagai Nur, 29, berkata, dia mengambil keputusan untuk tidak menghantar anak ke sekolah selepas terbaca maklumat di laman sosial Facebook serta menerima mesej pesanan ringkas daripada guru.

Katanya, dia difahamkan terdapat penduduk tempatan yang bekerja sebagai pemandu lori singgah makan di sebuah kedai makan di Napoh, Kubang Pasu di sini yang menjadi tular sebagai lokasi permulaan Kluster Sivagangga.

"Tapi, pemandu lori itu dikatakan patuh arahan untuk menjalani kuarantin selama 14 hari seperti ditetapkan, malah dia langsung tidak keluar dari rumah di Kampung Bakar Sampah di sini selepas singgah makan di kedai makan tersebut.

"Sebagai ibu bapa, kita tetap bimbang keselamatan dan kesihatan anak walaupun dimaklumkan bahawa lelaki itu bebas dari sebarang jangkitan Covid-19," katanya ketika ditemui Sinar Harian hari ini.

Nur berkata, dia mengambil keputusan tidak menghantar anak ke sekolah buat sementara waktu, namun bersedia menghantar semula anaknya ke sekolah selepas keadaan kembali reda.

Sementara itu, seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Salasiah, 70, berkata, dia menasihatkan anaknya supaya tidak menghantar cucu ke sekolah kerana takut dijangkiti Covid-19 selepas membaca WhatsApp salah seorang guru.

"Berdasarkan mesej itu, waris dinasihatkan tidak menghantar anak mereka yang tinggal di kampung itu ke sekolah sehingga kes negatif. Murid kurang sihat juga dinasihatkan tidak hadir ke sekolah tetapi terus ke klinik," katanya.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, seorang penduduk yang enggan dikenali berkata, kawasan Kampung Bakar Sampah di sini bebas daripada sebarang penyebaran Covid-19.

"Lelaki yang dikuarantin sebelum ini sudah pun dibenarkan membuka gelang merah jambu di hospital berhampiran hari ini selepas keputusan saringan didapati negatif Covid-19. Jadi diharapkan masyarakat tidak bimbang untuk ke kawasan ini.

"Bagaimanapun penduduk mengambil langkah pencegahan seperti mencatat nama, melakukan pemeriksaan suhu dan memakai penutup hidung dan mulut untuk mengelakkan sebarang penyakit," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: Kluster Sivagangga: 4 mukim terjejas, 5 sekolah ditutup