Kluster Sivagangga: 4 mukim terjejas, 5 sekolah ditutup

Kluster Sivagangga bertambah selepas Covid-19 menjangkit ibu, isteri, anak, cucu, saudara.
Kluster Sivagangga bertambah selepas Covid-19 menjangkit ibu, isteri, anak, cucu, saudara.
A
A
A

ALOR SETAR - Kedah akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Peningkatan Sasaran (TEMCO) di empat mukim di negeri ini yang terjejas dengan koronavirus (Covid-19).

Kawasan itu ialah mukim Ah, Hosba dan Binjal di daerah Kubang Pasu serta Kampung Ulu di Padang Sanai.

Menurut sumber Jabatan Pendidikan negeri Kedah, TEMCO melibatkan kawalan pergerakan orang awam pada radius satu kilometer dari sebuah restoran nasi kandar di Pekan Napoh dalam daerah Kubang Pasu.

Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kedah juga membuat keputusan bahawa pelaksanaan TEMCO di kawasan yang dikenal pasti menetapkan had pergerakan keluar masuk.

Guru yang tinggal di kawasan TEMCO tidak dibenarkan untuk hadir bertugas sama sekali, manakala bagi yang tinggal di luar kawasan TEMCO juga tidak dibenarkan untuk ke sekolah di kawasan TEMCO.

Bagaimanapun, mereka yang tinggal dan bertugas di luar kawasan TEMCO tetapi perlu melalui kawasan TEMCO adalah dibenarkan.

Selain itu, lima buah sekolah di Mukim Hosba dalam daerah Kubang Pasu dan Mukim Padang Sanai dalam daerah Padang Terap dekat sini diarah tutup berkuat kuasa serta-merta mulai hari ini hingga 29 Ogos ini susulan penularan wabak Covid-19 bagi kluster PUI Sivagangga.

Sekolah yang terlibat dalam Mukim Hosba adalah Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Hosba, Sekolah Kebangsaan (SK) Hosba, SMK Megat Dewa dan SK Megat Dewa.

Artikel Berkaitan:

Sementara di Mukim Padang Sanai, sebuah sekolah yang terlibat adalah SK Kubang Palas.

Penutupan tersebut dilakukan dalam tempoh 28 hari iaitu melibatkan 14 hari kuarantin dan 14 hari lagi pemerhatian.

Sementara itu, Kementerian Kesihatan (KKM) hari ini mengesahkan terdapat 11 kes baharu dikesan dari Kluster PUI Sivagangga.

Tiga kes daripada jangkitan kes 8976. Manakala baki lapan kes adalah jangkitan kes 8975.Kesemua 11 kes adalah daripada generasi kedua.

Sehingga kini, 313 telah disaring, 20 daripadanya dikesan positif, manakala 13 individu masih menunggu keputusan. Baki 280 adalah negatif.

ARTIKEL BERKAITAN: Tauke nasi kandar 'gelang pink' ditahan polis

Kluster Sivagangga: KKM saring 262 individu, lapan dikesan positif