17 individu ingkar arahan pakai pelitup muka dikompaun

Mohamad Noor melakukan pemeriksaan ke atas pengunjung sebuah pusat beli-belah di sini bagi memastikan mereka patuh arahan pemakaian pelitup muka.
Mohamad Noor melakukan pemeriksaan ke atas pengunjung sebuah pusat beli-belah di sini bagi memastikan mereka patuh arahan pemakaian pelitup muka.
A
A
A

KUANTAN - [DIKEMAS KINI] Seramai 17 pengunjung dan pekerja di sebuah pusat beli-belah di sini dikompaun kerana ingkar arahan pemakaian pelitup muka ketika berada di kawasan tumpuan ramai semalam.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohamad Noor Yusof Ali berkata, kesemua yang ditahan termasuk tiga wanita berusia lingkungan 17 hingga 28 tahun dan kebanyakannya dalam kalangan remaja.

Menurutnya, penahanan individu terlibat hasil Operasi Khas Pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di lokasi tumpuan ramai sekitar Kuantan termasuk di pusat peranginan Teluk Cempedak, pusat beli- belah dan Terminal Sentral Kuantan (TSK) petang semalam.

Beliau berkata, secara keseluruhan, seramai 189 individu diperiksa dalam operasi bermula jam 4 hingga 6 petang yang turut disertai oleh anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Majlis Perbandaran Kuantan (MPK).

"Selain tindakan kompaun, teguran turut dibuat terhadap orang ramai yang gagal memakai pelitup muka dengan betul.

"Secara keseluruhannya, orang ramai akur dengan arahan pemakaian pelitup muka kecuali segelintir yang masih ingkar dan kita ambil tindakan kompaun RM1,000 ke atas mereka mengikut Perkara 10 Peraturan-Peraturan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020 kerana gagal mematuhi peraturan terbaharu itu," katanya selepas operasi itu petang semalam.

Mohamad Noor turut menasihati ibu - bapa agar mengawasi anak masing-masing berada di pusat beli- belah.
Mohamad Noor turut menasihati ibu - bapa agar mengawasi anak masing-masing berada di pusat beli- belah.

Mohamad Noor berkata, sepanjang operasi itu, pihaknya mendapati ramai ibu-bapa membawa anak-anak kecil di tempat tumpuan ramai dan teguran dibuat agar mereka mengawasi anak masing-masing.

Artikel Berkaitan:

"Memang kanak-kanak bawah dua tahun tidak diwajibkan pakai pelitup muka tapi kita bimbang mereka terdedah kepada risiko jangkitan koronavirus (Covid-19) bila dibawa ke tempat-tempat tumpuan ramai," katanya.

Beliau berkata, pihaknya akan meneruskan operasi pemantauan dan penguatkuasaan di kawasan yang dikenalpasti menjadi tumpuan ramai termasuk di terminal bas, pasar malam, pasar tani dan sebagainya bagi memastikan arahan mewajibkan pemakaian pelitup muka dipatuhi.

"Ia termasuk pemeriksaan terhadap kenderaan awam termasuk bas melalui sekatan jalan yang akan diadakan.

"Kita menggerakkan 20 pasukan dari seluruh daerah termasuk dari balai-balai berdekatan untuk melaksanakan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap arahan ini," katanya.

Dalam perkembangan lain, Mohamad Noor berkata, beliau berpuas hati dengan pematuhan terhadap garis panduan ibadah korban sempena hari raya Aidiladha di daerah ini.

"Hasil pemantauan dilakukan, boleh dikatakan semua tempat yang melaksanakan aktiviti penyembelihan haiwan korban mematuhinya," katanya.