Peningkatan mendadak HFMD di Sarawak

HFMD - Gambar hiasan
HFMD - Gambar hiasan
A
A
A

KUCHING – Kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) di Sarawak mencatatkan peningkatan mendadak dengan 615 kes dilaporkan dalam tempoh tiga minggu pertama tahun ini berbanding 112 kes bagi tempoh sama tahun lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Jamilah Hashim berkata, daripada jumlah itu, 77 peratus kes melibatkan kanak-kanak berusia bawah tiga tahun dan 42 kes telah dimasukkan ke wad kerana dehidrasi disebabkan luka dalam bahagian mulut.

Menurut beliau dalam kenyataan hari ini, tiga bahagian mencatatkan jumlah melebihi 100 kes iaitu Bahagian Miri (143), Kuching (111) dan 102 kes di Sibu.

Beliau berkata bagi tempoh 1 hingga 19 Januari lalu, sebanyak 44 kluster HFMD telah dilaporkan melibatkan 31 kejadian berlaku di rumah persendirian, sembilan melibatkan murid prasekolah dan empat di pusat jagaan kanak-kanak.

Katanya, setakat ini, empat prasekolah dan pusat jagaan kanak-kanak diarahkan tutup di bawah Seksyen 18 (1) (d), Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

Justeru, beliau menasihatkan orang ramai yang mempunyai anak-anak kecil mengambil langkah berjaga-jaga bagi mengurangkan risiko daripada dijangkiti penyakit berkenaan. - Bernama

Artikel Berkaitan: