Bekalan elektrik Pantai Timur Sabah pulih sepenuhnya jam 9.02 malam - Sabah Electricity

Warga kerja Sabah Electricity berjaya memulihkan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah susulan insiden menara penghantaran elektrik tumbang di Kampung Sagindai, Ranau.
Warga kerja Sabah Electricity berjaya memulihkan bekalan elektrik di kawasan Pantai Timur Sabah susulan insiden menara penghantaran elektrik tumbang di Kampung Sagindai, Ranau.
A
A
A

KOTA KINABALU - Bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah yang terjejas akibat insiden menara penghantaran elektrik tumbang di Kampung Sagindai, Ranau, pulih sepenuhnya pada jam 9.02 malam Ahad.

Sabah Electricity dalam hantaran di Facebook Sabah Electricity Careline memaklumkan, pemulihan itu dicapai selepas laluan penghantaran elektrik yang menghubungkan Pantai Barat dan Pantai Timur Sabah berjaya disambungkan semula menerusi pengoperasian menara sementara Emergency Restoration System (ERS) di lokasi T313 pada Ahad.

Insiden pada Khamis lalu itu menyebabkan 153,599 pengguna berdaftar di lapan daerah di Pantai Timur Sabah terjejas.

Pemulihan bekalan berkenaan menyusul selepas pasukan teknikal Sabah Electricity bertungkus-lumus menyiapkan pembinaan ERS dan menyambung semula kesemua konduktor bagi membolehkan talian penghantaran elektrik yang terjejas kembali beroperasi.

Sabah Electricity turut merakamkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan, Kerajaan Negeri Sabah, Tenaga Nasional Berhad (TNB), Lembaga Pengarah, barisan pengurusan, pasukan teknikal serta semua agensi yang terlibat dalam menjayakan usaha pemulihan berkenaan.

Syarikat itu turut menghargai kesabaran dan kerjasama pengguna, khususnya di Pantai Timur Sabah, sepanjang tempoh gangguan bekalan elektrik.

Pengguna yang masih mengalami gangguan bekalan elektrik boleh menghubungi talian 15444 atau membuat laporan menerusi aplikasi mySE+.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar dalam sidang akhbarnya di Ranau berkata, pembinaan talian penghantaran elektrik Southern Link sepanjang kira-kira 330 kilometer dari Sipitang ke Tawau perlu dilengkapkan.

Langkah itu katanya, sebagai usaha bagi menyediakan laluan alternatif penyaluran bekalan elektrik ke Pantai Timur Sabah.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, beliau berkata, usaha meneruskan projek itu memerlukan peruntukan segera bagi membolehkan pembinaan Fasa 1B sepanjang 60 kilometer dari Sipitang ke Upper Padas, Tenom, diteruskan sebelum disambung dengan baki jajaran kira-kira 270 kilometer.

Sehubungan itu, beliau turut berharap kerajaan Persekutuan dapat mempertimbangkan dan menyegerakan penyaluran peruntukan dianggarkan RM1.4 bilion bagi membolehkan pembinaan Southern Link Fasa 1B diteruskan.

"Seperti kenyataan yang dibuat oleh beberapa pemimpin masyarakat dan juga yang terkini daripada Datuk Armizan Mohd Ali, memohon kalau dapat kerajaan Persekutuan mempertimbangkan, menyegerakan supaya dana peruntukan untuk kita meneruskan pembinaan Southern Link Fasa 1B itu dapat disegerakanlah," katanya.

Beliau berkata, pembinaan Fasa 1B yang menghubungkan Sipitang ke Upper Padas ketika ini berjalan lancar dan dijangka siap pada September 2028.

"Kalau kita berjaya menyiapkan talian kedua ini, daripada Sipitang ke Tawau, maka kita punya backbone grid atau rangkaian grid utama 275 kilovolt (kV) akan dapat kita lengkapkan.

"Jadi sekiranya berlaku lagi insiden begini, kita mempunyai alternatif untuk menyalurkan bekalan elektrik ke Pantai Timur," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!