'Insya-ALLAH kalau siap, Pantai Timur Sabah akan kembali bersinar' - CEO Sabah Electricity

Mohd Yaakob (kanan) meninjau kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik menara T313, Kampung Sagindai, Ranau.
Mohd Yaakob (kanan) meninjau kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik menara T313, Kampung Sagindai, Ranau.
A
A
A

RANAU - Kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik menara T313, Kampung Sagindai di sini, kini mencapai kemajuan hampir 70 peratus dengan bekalan elektrik di Pantai Timur Sabah dijangka kembali pulih pada Ahad.

Ketua Pegawai Eksekutif Sabah Electricity, Datuk Ir Ts Mohd Yaakob Jaafar, kerja-kerja mendirikan menara kecemasan atau Emergency Restoration System (ERS) berjaya disiapkan pada tengah hari Sabtu, sebelum operasi merentang kabel konduktor diteruskan pada Ahad.

Menurutnya, setakat jam 12.30 tengah hari, lima daripada enam kabel konduktor sudah berjaya direntangkan dari Menara 312 di sebelah Kota Kinabalu ke menara 314 menuju Sandakan, manakala satu lagi masih dalam proses pemasangan merentasi sungai.

"Insya-ALLAH, kalau tidak ada aral melintang, sebelum jam 3 petang kita akan dapat lengkapkan semula talian sambung tara East-West ini untuk satu litar dahulu.

"Selepas itu, kita akan berusaha memulihkan bekalan dengan segera, insya-ALLAH pada hari ini," katanya ketika ditemui pemberita di tapak kerja pemulihan menara tersebut di sini.

Mohd Yaakob (kanan) ketika ditemui pemberita semasa melakukan tinjauan kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik menara T313, Kampung Sagindai, Ranau.
Mohd Yaakob (kanan) ketika ditemui pemberita semasa melakukan tinjauan kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik menara T313, Kampung Sagindai, Ranau.

Beliau berkata, seramai 148 tenaga kerja terdiri daripada 64 kakitangan Sabah Electricity dan 84 pekerja kontraktor terlibat dalam operasi pemulihan berkenaan.

Katanya, pemeriksaan akhir menggunakan helikopter turut dilaksanakan bagi memastikan tiada halangan di sepanjang laluan penghantaran elektrik dari Kota Kinabalu ke Sandakan sebelum talian diaktifkan semula.

Artikel Berkaitan:

Mohd Yaakob berkata, penyambungan semula satu litar itu dijangka membolehkan kira-kira 150 megawatt bekalan elektrik disalurkan ke Pantai Timur Sabah, berbanding kekurangan bekalan hampir 100 megawatt yang menyebabkan catuan dilaksanakan sebelum ini.

"Apabila kita mengaktifkan talian ini nanti, insya-Allah kita dapat salurkan lebih kurang 150 megawatt dan mempunyai lebihan 50 megawatt lagi untuk pengguna di Pantai Timur.

"Jadi, tidak ada lagi catuan, Insya-ALLAH," katanya.

Kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik menara T313 sedang giat dilakukan di Kampung Sagindai, Ranau.
Kerja-kerja pemulihan talian penghantaran elektrik menara T313 sedang giat dilakukan di Kampung Sagindai, Ranau.

Beliau turut berharap usaha pemulihan itu berjalan lancar agar penduduk di Pantai Timur Sabah dapat kembali menikmati bekalan elektrik seperti biasa.

"Insya-ALLAH. Tinggal satu saja lagi akan kita tarik dari sungai itu. Insya-ALLAH kalau sebelum jam 3 petang saya akan nanti update live.

"Kalau nampak bersambung sudah, tandanya adalah cahaya sinar harapan di Pantai Timur. Insya-ALLAH.

"Kita sama-sama doa yang baik-baik. Insya-ALLAH kalau siap, Pantai Timur akan kembali bersinar dan bercahaya," katanya.

Sebelum itu, seramai 20 petugas media dibawa oleh Sabah Electricity untuk melakukan tinjauan dan melihat sendiri perkembangan kerja pemulihan menara penghantar yang terletak kira-kira 150 kilometer dari Kota Kinabalu.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!