Aktiviti penyelamatan pendakian meningkat

Sayani menyampaikan sijil penghargaan kepada seorang anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia, Kapten Chan Hon Keong, sempena majlis tersebut.
A
A

IPOH - Orang ramai dinasihat mengambil langkah keselamatan sewajarnya sebelum melakukan sebarang aktiviti pendakian.

Timbalan Pengarah Bomba dan Penyelamat Perak, Sayani Saidon berkata, minat orang ramai terhadap aktiviti pendakian sejak akhir-akhir ini dilihat meningkat.

Menurutnya, kadar kehadiran menyelamat pihak bomba dan penyelamat untuk mangsa terkandas di atas mana-mana bukit atau gunung semakin juga meningkat pada tahun 2018 berbanding tahun 2017.

"Jadi bomba dan penyelamat perlu gerakkan pelbagai pasukan untuk menyelamatkan mereka. Pergerakan kami juga kadang-kadang perlu disokong oleh penggunaan unit udara bomba dan memerlukan kos yang banyak.

"Orang ramai berminat perlu mengambil langkah keselamatan sekucupnya dari aspek kecergasan fizikal dan perancangan perjalanan dengan memaklumkan aktiviti mereka kepada pihak berkuasa," katanya kepada pemberita, hari ini.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas menyampaikan ucapan sempena Majlis Perbarisan Tahunan 2019 Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak Peringkat Negeri Perak di pekarangan Ibu Pejabat JBPM Perak, Bandar Meru Raya, di sini.

Sayani berkata, aktiviti seperti ini perlu dilaporkan kepada pihak polis, jabatan perhutanan atau pihak bomba dan penyelamat supaya sekurang-kurangnya anggota boleh bersiap sedia di lokasi berhampiran jika berlaku kecemasan.

Sementara itu, beliau berkata, sebarang aktiviti lasak yang ingin dilakukan perlu mengutamakan keselamatan diri dan ahli kumpulan bagi mengelak kejadian tidak diingini berlaku.

Katanya, pasukan penyelamat adakalanya berdepan masalah untuk sampai ke lokasi kejadian disebabkan pelbagai faktor termasuk bentuk muka bumi.

Sayani berkata, berdasarkan statistik penyelamatan di dalam hutan pada tahun 2018 sebanyak 22 kes dicatatkan berbanding pada tahun 2017 hanya 16 kes.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia