Peluang menjadi pemilik pasar raya

Mohd Fadzil Hashim
Mohd Fadzil Hashim
A
A
A

SABTU lalu, iaitu pada 25 Julai, ialah hari menarik buat warga Masjid Tanah, Melaka. Pada hari itu telah berlangsung program Ayuh Bangkit, sebuah program motivasi bisnes yang dikendalikan oleh Coach Fadzil Hashim, seorang usahawan Melayu. Program yang bertempat di M Mall, sebuah bangunan Mara yang telah empat tahun kosong itu dihadiri oleh golongan usahawan Muslim.

Pendaftaran untuk 250 peserta yang ditempah secara dalam talian telah penuh menyebabkan mereka yang ingin walk-in terpaksa pulang berputih mata.

Di bandar yang kecil itu pun terdapat ramai usahawan Melayu. Mereka bukan sahaja usahawan yang menjual, malah ada yang mengedar dan mengeluarkan pelbagai produk. Malah, di setiap bandar di Malaysia sudah terdapat ratusan ribu usahawan Melayu yang menceburi bidang perniagaan.

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi merangkap Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin hadir untuk merasmikan program itu. Turut bersama ialah Exco Melaka, Datuk Wira Ar Ismail Othman serta Ketua Aktivis PPIM yang juga Pengerusi Koperasi Pembangunan Pengguna Islam Malaysia (KoPPIM), Datuk Nadzim Johan.

Program Ayuh Bangkit itu amat signifikan dari pelbagai segi. Untuk usahawan daerah itu, sebuah medan perniagaan baharu telah dibentang luas di depan mata. Bangunan M Mall tempat berlangsungnya program bakal dibuka sebagai Malakat Mall, sebuah pasar raya Muslim sepenuhnya pada Disember 2020.

Ia akan mempamerkan produk keluaran usahawan Muslim. Apabila disebut keluaran usahawan Muslim atau orang Melayu, kita akan terpandang pelbagai kerepek, kek, tudung dan jubah. Tidak begitu.

Malakat Mall yang dipersembahkan kepada khalayak masyarakat Muslim ialah sebuah pasar raya yang moden. Pasar rayanya mempunyai imej setanding dengan pasar raya yang moden. Selain pasar, terdapat kedai pakaian, peralatan sukan, DIY, alat tulis serta restoran yang dikendalikan oleh cef-cef yang ada bintang.

Inilah salah satu kebangkitan imej syarikat Melayu yang cuba ditonjolkan oleh Pengasas Malakat Mall, Coach Fadzil. Kita sudah ada banyak juga rangkaian kedai runcit seperti Az-Zain, Lesong Mart, Pasar Raya Ikhwan dan Elewsmart. Terdapat juga pasar raya besar seperti Mydin. Namun, orang Melayu belum ada pasar raya yang mengisi pelbagai jenis perniagaan di kompleksnya seperti Malakat Mall.

Artikel Berkaitan:

Semangat untuk mengubah kedudukan bisnes orang Melayu ini tercetus setelah Coach Fadzil menganjurkan beberapa siri latihan susulan Ayuh Bangkit kepada usahawan. Beliau melihat potensi pelbagai bisnes orang Melayu tetapi berdiri rapuh kerana mereka tidak mempunyai pasar raya.

Kerana ingin merealisasikan kesimpulannya, beliau memperoleh sebuah pasar raya yang kosong di Cyberjaya dan dijelmakan menjadi Malakat Mall. Menyedari bahawa membuka pasar raya memerlukan dana yang besar, maka kerjasama dengan PPIM diperoleh melalui keahlian KoPPIM.

Dalam tempoh 10 bulan koperasi itu diaktifkan, ia berjaya mengumpul lebih 25,000 ahli dengan dana yang kini sudah mencapai belasan juta. Walaupun ada yang berkata, apa yang koperasi boleh buat, mereka harus melihat betapa beberapa buah koperasi di Amerika Syarikat yang di antaranya CHS dan Coop Group yang telah mencapai status berjaya dalam Fortune 500.

Semoga Malakat Mall akan berkembang pesat hingga menjadi simbol kebanggaan orang Melayu. Bangga kita bukan setakat menumpang bangga, malah bangga kerana kita juga menjadi tuan punya pasar raya itu melalui saham sebagai ahli KoPPIM.

Sambutan terhadap Malakat Mall yang pertama di Cyberjaya begitu memberangsangkan. Petanda bahawa Malakat Mall kedua di Melaka mendapat sambutan amat cerah kerana kini ia menjadi bualan hangat di daerah itu.