Tukang cuci SMK USJ14 maut dirempuh kereta

Polis minta saksi kejadian kemalangan langgar lari di Persiaran Tujuan tampil memberi maklumat.
Polis minta saksi kejadian kemalangan langgar lari di Persiaran Tujuan tampil memberi maklumat.
A
A
A

SUBANG JAYA - Polis meminta orang ramai atau saksi yang mempunyai maklumat berhubung insiden kemalangan langgar lari di Persiaran Tujuan di sini, pagi semalam tampil ke balai polis bagi membantu siasatan.

Dalam kejadian kira-kira jam 6.15 pagi, seorang wanita yang bekerja sebagai tukang cuci Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) USJ 14 maut selepas dirempuh sebuah kenderaan.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Mohammad Azlin Sadari berkata, kejadian berlaku di Persiaran Tujuan dari arah Persiaran Murni ke USJ5.

Menurutnya, ketika kejadian mangsa berusia 60 tahun berjalan kaki melintas jalan bersama seorang rakan sekerja lelaki untuk ke tempat kerjanya di SMK USJ14.

Katanya, ketika melintas, datang sebuah kenderaan merempuh kedua-duanya namun seorang berjaya menyelamatkan diri.

"Mangsa beralamat di Jalan PJS6/58, Desa Mentari mengalami kecederaan di bahagian kepala dan patah pergelangan kaki kanan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Mayatnya dibawa ke Hospital Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) untuk bedah siasat dan kes disiasat di bawah Seksyen 41(1)(A) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sehubungan itu, polis memohon bantuan orang awam melaporkan maklumat untuk mengesan pemandu dan kenderaan terbabit dalam kejadian itu.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga mohon pengusaha bengkel tampil beri maklumat jika ada terima pelanggan yang mengalami kerosakan di bahagian 'bumper' kereta," katanya.