X

Kindly register in order to view this article
!

33,382 kes demam denggi dilapor di Selangor

Sha’ari Ngadiman
A
A

SHAH ALAM - Sebanyak 33,382 kes demam denggi di Selangor hingga 25 Julai lalu dengan 32 kematian dilaporkan akibat dijangkiti wabak berkenaan dalam tempoh tersebut.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Selangor, Datuk Dr Sha'ari Ngadiman berkata, bagaimanapun jumlah itu menunjukkan penurunan sebanyak 21.8 peratus dalam tempoh sama berbanding tahun lalu.

Menurutnya, lima daerah utama mencatat kes demam denggi tertinggi ialah Petaling (11,869 kes); Hulu Langat (6,279 kes); Klang (6,049 kes); Gobmak (4,791 kes) dan Sepang (1,863 kes).

“Sebanyak 46 lokaliti direkod sebagai kawasan panas; 21 lokaliti (wabak tidak terkawal); 258 (wabak terkawal) dan 14 kawasan dikenalpasti sebagai kawasan wabak baru.

“Meski jumlah kematian hingga 25 Julai lalu menunjukkan penurunan sebanyak 11.1 peratus berbanding minggu yang sama pada tahun lalu namun masyarakat perlu sentiasa menjaga kesihatan diri dan keluarga dengan melakukan aktiviti pencegahan,” katanya menerusi satu kenyataan.

Dr Sha'ari berkata, demam denggi adalah penyakit berjangkit berbahaya yang menyebabkan kematian disebabkan virus denggi dan disebarkan oleh nyamuk aedes.

Tambah beliau, nyamuk aedes betina dewasa bertelur di takungan air jernih dan hanya memerlukan tujuh hari selepas menetas untuk menjadi nyamuk dewasa.

“Nyamuk aedes betina dewasa yang menghisap darah manusia boleh menyebarkan virus denggi. Jangan jadikan diri dan keluarga sebagai mangsa demam denggi.

“Sempena sambutan Hari Raya Aidil Adha ini, pastikan tiada bekas atau tempat yang berpontesi jadi tempat pembiakan nyamuk, menggunakan racun pemusnah jentik-jentik dan semburan indoor aerosol dalam rumah bagi membunuh nyamuk dewasa,” katanya.


Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!