Polis serbu sindiket pengedaran dadah di Kota Setar

Zainuddin menunjukkan sebuah kereta jenis Porshe digunakan salah seorang suspek yang ditahan dalam serbuan dijalankan sekitar Alor Setar.
Zainuddin menunjukkan sebuah kereta jenis Porshe digunakan salah seorang suspek yang ditahan dalam serbuan dijalankan sekitar Alor Setar.
A
A
A

ALOR SETAR - Lima individu termasuk seorang wanita yang disyaki aktif dalam aktiviti pengedaran dadah ditahan polis dalam serbuan berasingan sekitar Kota Setar semalam.

Ketua Polis Kedah, Datuk Zainuddin Yaacob berkata, mereka yang berusia antara 37 hingga 44 tahun itu ditahan dalam operasi dijalankan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah (BSJND) Kota Setar, semalam.

"Polis menahan seorang lelaki yang menaiki kereta jenis Porsche lebih kurang jam 4.20 petang di tepi jalan di Jalan Lencong Barat, di sini, dan merampas satu paket lutsinar dadah jenis heroin dianggarkan seberat 0.455 kilogram (kg).

"Penahanan lelaki ini membawa kepada siri tangkapan lain sekitar Alor Setar termasuk pasangan suami isteri di sebuah rumah sewa di Taman Seri Impian, di sini. Ketika serbuan, kita menemui bungkusan teh cina berisi ketulan mampat dadah disyaki syabu dengan anggaran berat 1.036 kg dan merampas sebuah kereta jenis Perodua Bezza," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontijen (IPK) Kedah, di sini, hari ini.

Zainuddin berkata, pihaknya kemudian meneruskan operasi dengan menahan dua lelaki menaiki motosikal di tepi jalan berhampiran sebuah sekolah di Pokok Sena, di sini,kira-kira jam 7.30 malam.

"Melalui pemeriksaan, kita menemui tiga bungkusan plastik berisi ketulan mampat disyaki dadah jenis syabu dianggarkan seberat 3.106 kg yang diletakkan secara terbuka dalam bakul motosikal itu," katanya.

Tambah beliau, melalui tangkapan itu, pihaknya merampas dadah dianggarkan bernilai RM188,000 dan menyita kereta jenis Perodua Bezza serta wang tunai dengan nilai keseluruhan sitaan sebanyak RM45,516.

Zainuddin berkata, hasil semakan mendapati keempat-empat suspek lelaki memiliki rekod kesalahan lampau termasuk kes membabitkan dadah.

Artikel Berkaitan:

Katanya, susulan itu, kesemua suspek ditahan reman selama tujuh hari mulai hari ini untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 39 B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952.

"Dalam kes berasingan, kita menahan seorang lelaki berusia 25 tahun yang bekerja sebagai peniaga pasar malam di hadapan sebuah pasar raya di daerah Kota Setar lebih kurang jam 8.20 malam pada Khamis lepas," katanya.

Tambah beliau lagi, pihaknya menemui lima bungkusan plastik lutsinar dadah jenis heroin dianggarkan seberat lebih 2.273 kg diletakkan di tempat letak kaki penumpang hadapan kereta jenis Perodua Alza.

"Lanjutan dari tangkapan itu, kita melakukan serbuan di rumah suspek di Pulau Pinang dan merampas dua paket plastik berisi dadah jenis heroin seberat 0.316 kg dengan nilai keseluruhan rampasan dadah bernilai RM23,200," katanya.

Menurut beliau, suspek yang positif dadah jenis methamphetamine dan memiliki rekod lampau ditahan reman selama enam hari sehingga 29 Julai untuk siasatan di bawah Seksyen 39 B ADB 1952.

Dalam perkembangan sama, Zainuddin berkata, pihaknya melakukan pemeriksaan ke atas 80 individu disyaki terlibat dalam penagihan dadah melalui Ops Tapis Khas di Kuala Kedah pada Jumaat lepas.

"Daripada jumlah itu, kita menahan 64 individu yang positif dadah dan empat lagi di bawah Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK)," katanya.