X

Kindly register in order to view this article
!

Wan Rosdy optimis projek CSR siap sepenuhnya 2023

Wan Rosdy Wan Ismail
A
A

LIPIS - Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail optimis pelaksanaan projek laluan ‘Central Spine Road’ (CSR) yang menghubungkan Kuala Krai, Kelantan ke Simpang Pelangai di Bentong, Pahang dapat disiapkan mengikut sasaran pada tahun 2023.

Beliau berkata, laluan sejauh 347 kilometer yang menelan belanja sebanyak RM8.7 bilion, itu kini berada di peringkat 19 peratus siap, melibatkan jarak sejauh 66.93km dengan dibahagikan kepada enam pakej utama yang dilaksanakan secara berperingkat.

Wan Rosdy berkata, di Pahang terdapat empat pakej melibatkan tiga daerah iaitu Lipis, Raub dan Bentong sejauh lebih 200 kilometer dengan kos berjumlah kira-kira RM5.6 bilion.

“Pelaksanaan projek ini dapat meningkatkan sosio-ekonomi penduduk setempat menerusi penyediaan infrastruktur berkualiti ke kawasan luar bandar selain boleh meningkatkan kebolehsampaian dan pergerakan ke Pantai Timur Semenanjung.

“Ia juga sudah pasti mengurangkan kesesakan lalu lintas di Jalan Persekutuan yang digunakan untuk ke Kelantan sebelum ini terutamanya menjelang musim perayaan atau cuti sekolah,” katanya semasa berucap merasmikan Pembukaan Projek CSR Seksyen 3E1 dari Mentara ke Merapoh di sini hari ini.

Turut hadir, Menteri Kanan (Infrastruktur), Datuk Seri Fadillah Yusof; Timbalan Menteri Pembangunan Luar Bandar 1, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad yang juga Ahli Perlimen Lipis dan Ketua Pengarah Kerja Raya, Datuk Mohamad Zulkefly Sulaiman.

Wan Rosdy menambah, projek yang dilaksanakan oleh Majlis Pembangunan Wilayah Ekonomi Pantai Timur (ECERDC) dan diserahkan kepada Kementerian Kerja Raya pada 27 Oktober 2009 itu juga diharapkan dapat mengurangkan risiko kemalangan di laluan lama Kuala Lipis.

“Berdasarkan statistik, dalam tempoh empat tahun bermula 2010, sebanyak 400 kemalangan direkodkan di laluan lama dari Mentara ke Kuala Lipis dan sudah pasti ada melibatkan kematian. Antara puncanya ialah keadaan jalan lama yang bengkang-bengkok dan berbukit,” katanya.

Sementara itu, Fadillah dalam ucapannya berkata, jajaran Seksyen 3E1 yang dirasmikan pada hari ini melibatkan jalan baharu empat lorong dua hala sejauh 5.4 km dari Mentara ke Merapoh dengan kos pembinaan RM93.58 juta yang siap pada 16 Februari lalu sejak dimulakan pada 19 September 2016.

Beliau juga memaklumkan bahawa kerajaan Persekutuan menerusi Pelan Pelancaran keempat tahun 2020, Rancangan Malaysia Ke-11 telah meluluskan peruntukan RM412 juta untuk membiayai projek infrastruktur jalan, jambatan dan cerun di Pahang.

“Ini menunjukkan komitmen kerajaan untuk menyediakan infrastruktur bermutu tinggi kepada rakyat terutamanya kepada penduduk di Pantai Timur Semenanjung.

“Pelaksanaan projek CSR ini juga selaras dengan keperluan aspek keselamatan pengguna jalan raya selain turut mengambil kira aspek kesesakan kerana apabila siap sepenuhnya kelak, memberi alternatif lebih selesa dan selamat kepada rakyat,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!