Pelepasan pelaksanaan projek kecil tidak melebihi RM200,000

Alexander
Alexander
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pelepasan pelaksanaan projek infrastruktur dan penyelenggaraan kecil kepada jabatan atau pejabat daerah adalah tidak melebihi nilai RM200,000.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, ia sejajar dengan Arahan Perbendaharaan 182 di mana kementerian, jabatan atau agensi (KJA) boleh melaksanakan sendiri kerja-kerja penyelenggaraan kecil yang tidak melibatkan struktur bangunan atau kerja elektrik.

"Pelaksanaan projek-projek ini juga mengambil kira keupayaan KJA," katanya menerusi kenyataan pada Selasa.

Ujar beliau, kementerian menyambut baik pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mengarahkan projek infrastruktur kecil seperti baik pulih sekolah dan klinik daif di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan kepada jabatan lain atau pejabat daerah.

"Keprihatinan Anwar itu juga dilihat dapat mengurangkan beban JKR sekali gus memberi ruang kepada jabatan ini untuk memberi fokus yang lebih kepada pelaksanaan projek infrastruktur yang lebih kompleks seperti pembinaan bangunan hospital, sekolah, jambatan besar, pelabuhan, lebuh raya dan sebagainya," katanya.

Alexander berharap agar projek yang diberikan pelepasan dapat dilaksanakan dengan lancar mengikut amalan terbaik kejuruteraan dan peraturan semasa yang berkuat kuasa demi kepentingan rakyat.

Dalam ucapan perhimpunan bersama warga Jabatan Perdana Menteri pada Isnin, Anwar berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah pada minggu depan supaya mereka dapat menjalankan tugas pelaksanaan terbabit.