Guan Eng beri keterangan 8 jam di SPRM

Guan Eng meninggalkan ibu pejabat SPRM kira-kira jam 7 petang semalam.
Guan Eng meninggalkan ibu pejabat SPRM kira-kira jam 7 petang semalam.
A
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng semalam memberi keterangan lebih lapan jam di ibu pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di sini berhubung siasatan projek terowong dasar laut yang dilaksanakan oleh kerajaan Pulau Pinang.

Ini adalah kali ketiga Guan Eng hadir untuk memberikan keterangan kepada SPRM.

Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan tiba pada jam 10.40 pagi ditemani peguamnya yang juga Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer sebelum keluar kira-kira jam 7 petang.

Bagaimanapun, beliau enggan memberi sebarang maklum balas terhadap soalan diajukan oleh pihak media.

Kelmarin dan Rabu lalu, Setiausaha Agung DAP itu dipanggil SPRM untuk membantu siasatan kes terowong berkenaan.

Pada 30 Jun lalu, SPRM menahan bekas pegawai tinggi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPC) bagi membantu siasatan dakwaan elemen rasuah dalam projek tersebut.

SPRM turut memanggil beberapa lagi saksi untuk direkod percakapan mereka.

Sebelum ini, Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow dan beberapa individu dilaporkan turut memberi keterangan kepada SPRM berhubung projek mega berkenaan yang membabitkan anggaran kos keseluruhan RM6.3 bilion.

Artikel Berkaitan:

Kes itu disiasat oleh SPRM sejak tahun 2017.

Projek pembinaan terowong sepanjang 7.2 kilometer itu yang menghubungkan Persiaran Gurney ke Bagan Ajam di Seberang Perai adalah termasuk di bawah Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP).