Perebutan tidak beri sebarang kelebihan

PKR mahupun kumpulan pecahan Bersatu dilihat tidak mampu merampas DUN Slim sekiranya mereka meletakkan calon di situ. Gambar kecil: Achmad Dzariean
PKR mahupun kumpulan pecahan Bersatu dilihat tidak mampu merampas DUN Slim sekiranya mereka meletakkan calon di situ. Gambar kecil: Achmad Dzariean
A
A
A

SHAH ALAM - Perebutan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim antara Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan kumpulan Bersatu Blackout tidak akan memberi sebarang kelebihan kepada kedua-dua parti tersebut dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN berkenaan pada 29 Ogos depan.

Felo Penyelidik Institut Kajian Politik Malaysia daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Dr Achmad Dzariean Mohd Nadzri berkata, DUN Slim merupakan kubu kuat UMNO, malah penyandang terdahulu iaitu Allahyarham Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib sudah memenangi kawasan itu sejak lebih empat penggal lalu.

Sehubungan itu, katanya, beliau tidak melihat PKR mahupun kumpulan pecahan Bersatu akan mampu merampas DUN Slim sekiranya mereka meletakkan calon di situ.

“Allahyarham Mohd Khusairi ini merupakan seorang individu yang ada kelas tersendiri. Sebab itu lebih empat penggal dia berjaya mengekalkan kedudukan Barisan Nasional (BN) di situ.

“Jadi kalau PKR atau pecahan Bersatu daripada kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad mahu letak calon, mereka kena pastikan calon itu setanding dengan penyandang terdahulu iaitu ada kredibiliti, orang tempatan yang tahu selok-belok masyarakat serta kawasan Slim itu sendiri.

“Daripada mereka berebut, lebih baik pilih satu calon yang benar-benar berpotensi,” katanya ketika dihubungi Sinar Ahad di sini semalam.

Achmad Dzariean berkata, beliau turut melihat kesukaran bakal dihadapi PKR dan Bersatu Blackout bukan sekadar isu perebutan untuk letak calon, malah masalah-masalah dalaman parti juga akan menyebabkan kesukaran mereka merampas kerusi di DUN terbabit.

“Kumpulan pecahan Bersatu sudah kata mereka bebas tapi tidak tahu mereka condong ke mana. PKR pula dihimpit masalah kepercayaan kepada kepimpinan dan ramai ahli yang sudah umum keluar parti.

Artikel Berkaitan:

“Semua itu tidak akan beri kelebihan kepada kedua-dua parti itu. Tapi berbeza dengan UMNO yang memang diterima dan mendapat kepercayaan daripada pengundi majoriti Melayu di DUN Slim, malah dikatakan UMNO juga sudah hantar sembilan nama untuk dicalonkan nanti,” katanya.

Dalam perkembangan sama, penganalisis politik daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Profesor Madya Dr Ahmad Marthada Mohamed juga memberi pandangan senada dan menyifatkan perebutan kerusi Slim antara pasukan Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Dr Mahathir itu bukan senario baharu.

Ahmad Marthada
Ahmad Marthada

Menurutnya, apabila Pakatan Harapan (PH) tidak lagi berada pada satu landasan seperti sebelum ini, maka soal perebutan kerusi pasti berlaku.

“Ini mungkin yang pertama dan mungkin juga bukan yang terakhir,” katanya.

Malah, katanya, beliau melihat isu itu akan terus berlanjutan sehingga Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), tambah lagi PKR sudah tentu merasakan mereka lebih kuat berbanding kumpulan Dr Mahathir yang hanya ada enam orang.

“Berdasarkan senario itu, PKR pasti buat tuntutan lebih kuat dan pada masa yang sama tidak akan berkompromi dengan kumpulan Dr Mahathir. Jadi, ia bukan satu senario mengejutkan, malah kita dah lihat perebutan atau krisis juga berlaku dari segi menentukan calon Perdana Menteri dan ia akan berterusan,” katanya.

Selain itu, beliau berkata, tidak kira calon daripada parti PKR atau kumpulan Dr Mahathir yang diletakkan untuk bertanding di DUN Slim nanti, beliau melihat kedua-dua parti itu akan berdepan kesukaran untuk menang kerana Slim merupakan kawasan luar bandar yang didominasi pengundi majoriti Melayu Islam.

“Keadaan itu beri kelebihan kepada BN dan juga gabungan Perikatan Nasional (PN), malah rekod cemerlang juga terbukti di PRK Chini baru-baru ini.

“Selain itu, Slim juga ialah kubu kuat UMNO kerana penyandang terdahulu dah berada di situ lebih empat penggal dan ia merupakan tempoh yang sangat lama serta membuktikan penerimaan masyarakat yang tidak berbelah bahagi,” katanya.

Dalam kata lain, katanya, peluang untuk PKR mahupun Bersatu Blackout bertanding pada PRK itu nanti ada, cuma untuk menang ia agak tipis, malah untuk memperoleh undi yang besar juga sukar.

“Ditambah perbalahan antara parti-parti dalam PH terutama PKR dan kumpulan Dr Mahathir turut memberi kesan besar,” katanya.