Perbuatan pujuk wakil rakyat sokong mana-mana parti tidak salah

Bung Moktar Radin
Bung Moktar Radin
A
A
A

PETALING JAYA - UMNO Sabah menyifatkan perbuatan memujuk atau meyakinkan wakil rakyat supaya menyokong mana-mana parti bukan suatu kesalahan kerana Malaysia negara yang mengamalkan sistem demokrasi.

Pengerusinya, Datuk Seri Bung Moktar Radin berkata, kaedah sama juga digunakan ketika kempen pilihan raya bagi meyakinkan rakyat supaya memilih calon tertentu yang bertanding.

"Ia sama dalam pilihan raya iaitu ejen atau wakil parti memujuk rakyat dan meyakinkan pengundi supaya memilih calon parti yang bertanding.

"Saya nak tanya apa kesalahannya jika benar ada orang tertentu yang berjumpa dengan ahli Parlimen daripada mana-mana parti dan menerangkan hala tuju partinya? Selepas itu terpulanglah kepada wakil rakyat tersebut untuk membuat keputusan," katanya memetik laporan portal FreeMalaysiaToday (FMT) hari ini.

Mengulas lanjut, Ahli Parlimen Kinabatangan itu berkata, sekiranya benar terdapat wakil parti berjumpa dan memberi penerangan tentang hala tuju yang perlu disokong sekali pun namun isu utama pada wakil rakyat itu sendiri.

"Ia sama ada wakil rakyat itu mahu bersetuju atau sebaliknya selagi ia tidak bertentangan dengan undang-undang.

“Ia sama dengan keadaan yang berlaku di Sabah sebelum ini,” katanya yang dipercayai merujuk kepada beberapa wakil rakyat dari Barisan Nasional (BN) yang beralih arah menyokong kerajaan pimpinan Parti Warisan Sabah (Warisan) selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu.

Bung Moktar berkata, tindakan parti lawan membangkitkan isu cubaan melobi wakil rakyat di Sabah adalah lebih bertujuan mencari publisiti murahan.

Artikel Berkaitan:

“Pada saya janganlah ada pihak yang cuba mencari publisiti murahan. Banyak lagi kerja lebih penting seperti membangun rakyat dan ekonomi.

“Ahli Parlimen atau ADUN (Ahli Dewan Undangan Negeri) yang berhasrat berpindah parti itu hal mereka yang sudah tahu perbuatan tersebut ada risikonya,” katanya.

Pemimpin Warisan semalam mendakwa wujud usaha membeli wakil rakyat di Sabah supaya menyertai blok kerajaan pimpinan Perikatan Nasional (PN) di Dewan Rakyat.

Ahli Parlimen Sepanggar, Mohd Azis Jamman berkata, wakil kerajaan juga mengarahkan ejen untuk memujuk wakil rakyat di Sabah yang diterajui Warisan supaya meninggalkan parti itu.

Katanya, wakil rakyat terbabit bukan sahaja cuba dirasuah supaya melompat parti sebaliknya turut diganggu.