Emas mengunci nilai masa depan

Selain menjadi perhiasan, emas juga boleh dijadikan pelaburan yang menguntungkan.
Selain menjadi perhiasan, emas juga boleh dijadikan pelaburan yang menguntungkan.
A
A
A

Emas merupakan logam berharga yang utuh nilainya sejak dari dulu. Selain menjadi perhiasan, emas juga boleh dijadikan pelaburan yang menguntungkan.

Tidak kira, sama ada orang itu senang atau susah, masing-masing mengimpikan untuk membeli dan menyimpan emas kerana sifatnya mengunci nilai pada masa depan.

Di samping itu, logam tersebut juga tidak memerlukan perakuan kerana boleh berdiri sendiri, diterima di seluruh dunia dan tidak berkurang nilainya.

Malah, ia adalah aset mudah cair yang boleh digadaikan pada bila-bila sahaja apabila seseorang itu berdepan dengan masalah kewangan.

Tidak hairanlah, sejak zaman-berzaman lagi sesusah mana pun seseorang, terutamanya wanita, mereka akan memiliki sekurang-kurangnya seurat gelang di tangan atau seutas rantai di leher.

Penolong Pengurus Besar Ar-Rahnu Express Sdn Bhd di pusat beli-belah Ampang Point dekat Kuala Lumpur, Zairenna Ngon @ Onn berkata, nilai emas yang konsisten menjadikannya sebagai komoditi terbaik pelaburan jangka panjang.

Katanya, harga emas sentiasa meningkat mengikut pasaran global dan pembeliannya sangat menguntungkan. Justeru, sudah sampai masanya rakyat Malaysia fokus menyimpan atau membeli emas sekiranya mereka mempunyai lebihan wang.

Kurangkan tabiat menambah liabiliti dengan membeli barang yang tidak menguntungkan, sebaliknya laburkan wang kepada logam bernilai itu. Bagi yang telah melakukannya, mereka berada di landasan yang betul tapi bagi mereka yang belum memulakannya, ia adalah satu kerugian kerana harga emas di pasaran dijangka meningkat pada 2021 nanti.

Artikel Berkaitan:

Kumpulan Perbankan Citigroup dalam laporan tinjauan suku ketiganya menjelaskan, harga emas dijangka melonjak ke paras tertinggi dalam sejarah dalam tempoh antara enam hingga sembilan bulan akan datang.

Jelasnya, ada kemungkinan harga emas akan melepasi lebih RM300 per gram dalam tempoh tiga hingga lima bulan lagi.

Ternyata, menyimpan emas itu sesuatu yang menguntungkan. Walaupun perit untuk mengumpulnya namun hasilnya berbaloi.