Jalan raya bukan medan ego

Pada 2025, sebanyak 6,581 kemalangan maut direkodkan di Malaysia, melibatkan 4,267 penunggang motosikal yang terkorban. Foto hiasan
Pada 2025, sebanyak 6,581 kemalangan maut direkodkan di Malaysia, melibatkan 4,267 penunggang motosikal yang terkorban. Foto hiasan
A
A
A

JALAN raya bukan sekadar laluan untuk sampai ke destinasi. Ia ruang awam yang menuntut setiap pengguna menghormati keselamatan orang lain.

Namun, insiden langgar lari dan tindakan memandu melawan arus memperlihatkan sikap berbahaya apabila ego mengatasi pertimbangan, sedangkan kesilapan beberapa saat boleh memusnahkan kehidupan insan lain.

Pada 2025, sebanyak 6,581 kemalangan maut direkodkan di Malaysia, melibatkan 4,267 penunggang motosikal yang terkorban.

Angka ini wajar membuka mata bahawa keselamatan jalan raya bukan perkara remeh.

Di sebalik setiap kematian, ada keluarga yang kehilangan insan tersayang, anak yang kehilangan ibu atau bapa dan masa depan yang terhenti tanpa sempat mengucapkan selamat tinggal.

Lebih mengecewakan ialah tindakan melarikan diri selepas kemalangan. Seksyen 52 Akta Pengangkutan Jalan 1987 mewajibkan pemandu yang terlibat berhenti, memberikan maklumat berkaitan dan melaporkan kemalangan kepada polis secepat yang munasabah, dalam tempoh 24 jam.

Kewajipan itu bukan sekadar mematuhi undang-undang, tetapi tanggungjawab moral terhadap mangsa yang mungkin memerlukan bantuan segera.

Memandu melawan arus pula bukan jalan pintas yang bijak. Tindakan itu memindahkan risiko kepada pengguna lain yang tidak bersalah, termasuk penunggang motosikal dan keluarga dalam perjalanan pulang.

Beberapa minit yang mahu dijimatkan boleh meragut nyawa yang tidak mungkin dikembalikan.

Artikel Berkaitan:

Penguatkuasaan tegas perlu berjalan seiring dengan pendidikan, reka bentuk jalan yang selamat dan kesedaran masyarakat.

Namun, semua usaha ini tidak akan memadai jika pengguna sendiri menganggap peraturan sebagai pilihan.

Kita tidak boleh menyalahkan takdir semata-mata apabila tragedi berpunca daripada pilihan manusia.

Di sebalik setiap stereng ada tanggungjawab dan di setiap kenderaan mungkin ada insan yang sedang dinanti keluarga.

Jangan biarkan ego menentukan nasib orang lain. Jalan raya bukan tempat melarikan diri daripada kesalahan atau melepaskan kemarahan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!