Tahniah doktor kontrak, berakhir penantian sedekad

PERJUANGAN doktor kontrak yang berlarutan hampir sedekad akhirnya mendapat sinar baharu apabila kerajaan mengumumkan lebih 9,000 pegawai perubatan kontrak akan ditawarkan jawatan tetap pada 2027 menerusi Belanjawan 2027.
Pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim itu membawa harapan kepada ribuan doktor yang sekian lama menantikan kepastian kerjaya selepas berkhidmat dalam sistem kesihatan awam negara.
Sejak sistem kontrak diperkenalkan pada 2016, ketidakpastian pekerjaan dan peluang kemajuan kerjaya menjadi antara kebimbangan doktor muda. Perjuangan mereka mendapat perhatian meluas menerusi gerakan Hartal Doktor Kontrak pada 2021 yang mendesak kerajaan menyediakan laluan kerjaya lebih jelas dan terjamin.
Justeru, komitmen terbaharu ini wajar dilihat sebagai langkah penting ke arah menyelesaikan kemelut berkenaan.
Pengiktirafan terhadap perjuangan doktor kontrak juga memperlihatkan kepentingan mendengar suara golongan yang menjadi antara tunjang perkhidmatan kesihatan negara.
Sistem kontrak menyebabkan ada dalam kalangan doktor berkualiti memilih meninggalkan perkhidmatan awam untuk mencari peluang lebih baik termasuk di luar negara atau beralih ke sektor swasta.
Walaupun penghijrahan turut dipengaruhi faktor gaji, beban tugas dan peluang pengkhususan, laluan kerjaya yang lebih jelas boleh menjadi dorongan untuk mereka terus berkhidmat di tanah air.
Malaysia telah melaburkan masa dan sumber yang besar untuk melatih doktor. Oleh itu, kepakaran mereka perlu dimanfaatkan sebaiknya bagi memperkukuh sistem kesihatan dan memastikan rakyat mendapat rawatan berkualiti.
Bagaimanapun, pengumuman tersebut perlu disusuli dengan pelaksanaan yang telus, adil dan teratur bagi memastikan kebajikan doktor tidak terhenti pada status jawatan tetap semata-mata untuk jangka masa panjang.
Menoktahkan kemelut doktor kontrak bukan sekadar memenuhi penantian sekian lama. Ia peluang membina sistem kesihatan yang lebih mampan, menghargai pengorbanan tenaga perubatan dan memastikan bakat anak tempatan terus berbakti di negara sendiri demi kesejahteraan rakyat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
