[VIDEO] Paksa makan najis, dera kanak-kanak sampai mati: Bekas pemandu e-hailing dipenjara 8 tahun 6 bulan
JOHOR BAHRU – Seorang bekas pemandu e-hailing dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun enam bulan di Mahkamah Tinggi di sini pada Rabu, selepas mengaku bersalah mendera seorang kanak-kanak lelaki berusia tiga tahun hingga menyebabkan kematiannya termasuk memaksa mangsa memakan najis, empat tahun lalu.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Abdul Fareed Abdul Gafoor memerintahkan hukuman ke atas Chan Wen Jin, 32, berkuat kuasa dari tarikh tertuduh ditangkap pada 3 Oktober 2022.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh melaksanakan bon berkelakuan baik dengan seorang penjamin tanpa cagaran bagi tempoh tiga tahun.

Tertuduh juga diperintahkan melaksanakan kerja komuniti selama 36 jam dalam tempoh tidak melebihi enam bulan.
Dalam penghakimannya, mahkamah menyatakan hukuman perlu mengimbangi kepentingan awam dan tertuduh, selain mengambil kira keseriusan kesalahan, fakta kes serta faktor mitigasi.

Mahkamah juga menyifatkan perbuatan memaksa mangsa memakan najis sendiri daripada lampin pakai buang sebagai tindakan tidak bertamadun, menjatuhkan maruah dan sama sekali tidak boleh dianggap sebagai kaedah mendidik.
“Mahkamah turut mengambil kira rakaman kamera litar tertutup (CCTV) yang menunjukkan tertuduh melakukan pelbagai perbuatan kejam terhadap mangsa, termasuk menghentak kepala, melakukan ketuk ketampi, memaksa mangsa berdiri untuk tempoh lama serta merotan.
“Menurut mahkamah, rakaman itu menunjukkan perbuatan tertuduh melampaui hukuman fizikal biasa, sebaliknya merupakan penderaan keterlaluan tanpa belas kasihan terhadap kanak-kanak berusia tiga tahun yang tidak berdaya melindungi diri sendiri,” katanya.

Mahkamah menegaskan tertuduh telah mengkhianati kepercayaan bapa mangsa yang mengamanahkannya untuk menjaga kanak-kanak berkenaan.
Mahkamah turut menolak hujah pihak pembelaan bahawa perbuatan itu merupakan cara tertuduh mendidik mangsa, seperti yang dilakukannya terhadap anak sendiri.
“Sekiranya tertuduh tidak mampu menjaga mangsa, dia sepatutnya menyerahkan kanak-kanak itu kembali kepada bapanya,” katanya.
Selepas menimbang faktor pemberatan dan mitigasi, mahkamah memutuskan hukuman penjara lapan tahun enam bulan bersesuaian dengan kesalahan yang dilakukan, selain menekankan kepentingan melindungi kanak-kanak daripada penderaan.
Pertuduhan asal dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sebelum tertuduh mengaku bersalah terhadap pertuduhan pilihan di bawah Seksyen 31(1) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Edelynn Wong dan Nur Diana Zubir manakala tertuduh diwakili peguam K Sarawanakumar serta Datin Freeda Sabapathy.
Sebelum itu tertuduh didakwa di Mahkamah Majistret Johor Bahru atas pertuduhan membunuh Lee See Jie yang berusia tiga tahun ketika kejadian di sebuah rumah di Jalan Ria 2, Taman Skudai Ria, Skudai, antara jam 8 malam hingga 8.30 malam pada 2 Oktober 2022.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

