Pawagam pertama di Jeddah dibuka Isnin depan

A
A

JEDDAH — ARAB SAUDI. Jeddah bakal menyaksikan pembukaan pawagam pertama di gedung membeli belah terkemuka, Red Sea Mall pada Isnin depan.

Pengarah Suruhanjaya Am Audiovisual Media di rantau Makkah, Hamza Al-Ghobaishi berkata, Jeddah akan mempunyai keseluruhan 65 dewan tayangan sepanjang tempoh akan datang, di mana tiga akan dibuka pada suku pertama dan keempat tahun 2019, lapor Saudi Gazzette.

"Dua lagi pawagam akan dibuka pada suku tahun kedua 2020.

"Sebanyak 12 dewan tayangan akan dibuka di Red Sea Mall pada suku pertama 2019," katanya selepas memberi penerangan mengenai perancangan aktiviti dan masa depan Jeddah kepada Timbalan Emir Makkah, Putera Badr Bin Sultan, di sini, semalam.

Katanya lagi, Andalus Mall akan mempunyai 27 dewan tayangan dan Stars Avenue akan menyaksikan pembukaan sembilan dewan tayangan pada suku keempat 2019.

Bercakap kepada media, Al-Ghobaishi turut mendedahkan perancangan pemerintah untuk membuka 11 lagi dewan tayangan di Obhur Mall dan enam di Al-Masarah Mall pada suku kedua tahun 2020.

Sementara itu, katanya lagi, pemerintah turut merancang untuk membuka 102 pawagam di Jeddah dan tujuh di Taif.

Arab Saudi mula menayangkan filem animasi kanak-kanak tahun lalu di panggung sementara, selepas larangan 35 tahun ke atas pawagam ditarik balik.

Langkah itu sebagai usaha untuk memperkenalkan pelbagai kemudahan rekreasi dalam mencapai visi 2030.

Pawagam diharamkan pada awal 1980-an susulan tekanan golongan Islam ketika negara itu beralih menjadi bentuk konservatif agama yang tidak menggalakkan hiburan terbuka dan percampuran antara lelaki dan wanita.

Namun, pembaharuan dilakukan Putera Mahkota Mohammed bin Salman, 32, melonggarkan banyak sekatan, ketika kerajaan cuma meluaskan cabang ekonomi dan mengurangkan kebergantungan terhadap minyak.


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia