Moo Deng pilih Argentina jadi juara Piala Dunia 2026

BANGKOK - Badak air kerdil popular di Thailand, Moo Deng sekali lagi mencuri perhatian apabila membuat ramalan dengan memilih Argentina untuk muncul juara Piala Dunia 2026 menewaskan Sepanyol pada aksi final.
Aktiviti tersebut dianjurkan oleh Zoo Terbuka Khao Kheow di daerah Si Racha, wilayah Chon Buri pada Sabtu bagi memeriahkan suasana menjelang perlawanan akhir Piala Dunia dan menghiburkan pengunjung.
Pengarah zoo, Narongwit Chodchoi bersama pasukan pemakanan zoo menyediakan dua hidangan buah-buahan sebagai aktiviti pengayaan haiwan.
Setiap hidangan diukir dengan nama Sepanyol (ESP) dan Argentina (ARG) serta dihiasi dengan bendera kedua-dua negara.
Penjaga Moo Deng kemudiannya melepaskan badak air kerdil itu untuk membuat pilihan. Tanpa teragak-agak, ia terus menuju ke hidangan buah-buahan yang mewakili Argentina, sekali gus mengundang sorakan daripada para pengunjung yang menyaksikan acara tersebut.
Aktiviti itu turut dianggap sebagai peluang untuk menebus dua ramalan final sebelum ini yang tidak menjadi kenyataan.
Sebelum ini, Moo Deng memilih Perancis untuk menewaskan Sepanyol selain meramalkan England akan mengatasi Argentina.
Menurut Narongwit, program berkenaan bertujuan menceriakan pengunjung di samping menyokong usaha pengayaan haiwan.
"Penyediaan hidangan buah-buahan itu membantu menggalakkan haiwan bergerak aktif, mengurangkan tekanan, membolehkan mereka mempamerkan tingkah laku semula jadi dan menikmati pemakanan yang seimbang.
"Aktiviti tersebut bukan bertujuan mempromosikan sebarang bentuk perjudian sebaliknya sekadar aktiviti rekreasi dan pendidikan untuk pengunjung zoo," jelasnya lagi. - Agensi
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

