Jordan jadi medan perang baharu AS-Iran

Imej satelit menunjukkan Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Al Azraq, Jordan yang menjadi sasaran serangan balas Iran pada Jumaat lalu. - Foto Agensi
Imej satelit menunjukkan Pangkalan Udara Muwaffaq Salti di Al Azraq, Jordan yang menjadi sasaran serangan balas Iran pada Jumaat lalu. - Foto Agensi
A
A
A

AMMAN – Jordan kini muncul sebagai medan baharu konflik antara Iran dan Amerika Syarikat (AS) selepas negara itu menjadi sasaran beberapa siri serangan, sekali gus memberi isyarat bahawa perang di Asia Barat sedang memasuki fasa lebih sengit.

Dalam tempoh lima hari, empat serangan dilancarkan ke atas pangkalan tentera AS di Amman.

Serangan terbaharu pada Jumaat yang dilancarkan Teheran mengorbankan dua askar AS serta mencederakan empat lagi dan menyebabkan seorang anggota dilaporkan hilang hingga mendorong tindak balas agresif Washington.

Sejak awal perang tercetus, Jordan memainkan peranan semakin besar dalam strategi ketenteraan AS di Asia Barat.

Pentagon dilaporkan memindahkan sebahagian anggota tenteranya dari Bahrain, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Qatar yang turut menjadi sasaran serangan balas Iran ke Jordan serta Israel kerana kedua-dua lokasi itu dianggap lebih selamat.

Pada masa sama, beberapa negara sekutu Washington di rantau itu mula mengehadkan penggunaan pangkalan tentera dan ruang udara mereka oleh AS.

Sekatan itu menyebabkan Amman kini menjadi antara aset paling penting untuk operasi ketenteraan AS.

Penganalisis melihat pemilihan Jordan sebagai langkah strategik Teheran. Serangan ke atas negara itu bukan sahaja boleh mengganggu operasi tentera AS malah meningkatkan tekanan politik terhadap Washington.

Bekas Leftenan Jeneral Tentera Udara AS, David Deptula berkata, serangan itu bukan semata-mata menyasarkan sebuah pangkalan tentera.

Artikel Berkaitan:

"Serangan itu bertujuan meningkatkan tekanan politik terhadap Jordan kerana menjadi tuan rumah kepada tentera Amerika selain menjejaskan operasi ketenteraan gabungan AS di rantau tersebut," menurutnya.

Perkembangan konflik itu mencetuskan kebimbangan bahawa Amman kini bukan lagi sekadar negara transit atau pangkalan logistik dalam konflik Washington-Teheran.

Sekiranya kitaran serangan balas terus memuncak, Jordan berisiko berubah daripada sekadar hab logistik tentera AS kepada 'barisan hadapan baharu' perang Iran-AS, sekali gus membuka satu lagi medan konflik yang berpotensi mengheret lebih banyak negara Teluk ke dalam krisis serantau yang lebih besar. - Agensi

 

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!