X

Kindly register in order to view this article
!

Tun M, empat YB saman Speaker, Timbalan Speaker

A
A

SHAH ALAM - Bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama empat ahli Parlimen mengemukakan permohonan di mahkamah bagi mencabar pelantikan Datuk Azhar Harun dan Datuk Seri Azalina Othman sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Turut dinamakan sebagai defendan dalam saman pemula tersebut ialah seorang lagi Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon dan Setiausaha Dewan Rakyat, Nizam Mydin Bacha Mydin.

Menurut satu kenyataan, saman pemula itu dibuat kerana kerusi Yang Dipertua Dewan Rakyat dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat itu masih kosong sejak 13 Julai lalu.

"Pelantikan Azhar dan Azlina sebagai Yang Dipertua dan Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat pada 13 Julai lalu adalah tidak sah, tidak menepati serta bercanggah dengan Perlembagaan atau Peraturan-Peraturan Mesyuarat Dewan.

"Selepas pengosongan jawatan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat, ahli-ahli Dewan Rakyat mesti diberi peluang untuk mencalonkan pilihan masing-masing bagi jawatan tersebut," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Saman pemula itu difailkan oleh firma guaman Law Practice of Rafique di pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur kira-kira jam 2 petang hari ini.

Turut mengemukakan permohonan sama ialah Datuk Seri Mukhriz Mahathir (Jerlun), Dr Maszlee Malik (Simpang Renggam), Datuk Amiruddin Hamzah (Kubang Pasu) dan Datuk Shahruddin Md Salleh (Sri Gading).

Sementara itu, firma guaman tersebut menjelaskan, plaintif ingin mengambil peluang untuk menerangkan bahawa terdapat pendapat yang menyatakan kerajaan terdahulu juga telah mengosongkan kerusi Speaker dan apabila lantikan baharu dibuat, ia tidak memberi notis 14 hari.

"Perlu dijelaskan bahawa tempoh jawatan Speaker adalah dalam tempoh penggal atau hayat Parlimen. Semasa kerajaan terdahulu mengambil alih kuasa, jawatan Speaker kosong secara automatik apabila Parlimen Ke-13 dibubar.

"Berbeza dengan pengosongan kerusi Speaker pada kali ini di mana tempoh Parlimen masih wujud dan belum dibubar," katanya.

Sehubungan itu, katanya, plaintif berpegang teguh kepada doktrin pengasingan kuasa yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan kedaulatan undang-undang.

"Plaintif juga tidak teragak-agak untuk bersuara apabila timbul mana-mana percubaan campur tangan salah oleh pihak eksekutif iaitu Perdana Menteri terhadap legislator iaitu Dewan Rakyat," tegasnya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!