PAC Perak belum terima laporan audit MAPS

Abd Manaf (tengah) bersama Mohd Azhar (kiri) dan Mohd Noor pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
Abd Manaf (tengah) bersama Mohd Azhar (kiri) dan Mohd Noor pada sidang akhbar di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Jawatankuasa Kira-Kira Wang (PAC) Perak masih belum menerima laporan audit forensik daripada firma audit terkemuka PricewaterhouseCoopers (PwC) berkaitan Taman Tema Movie Animation Park Studios (MAPS).

Pengerusinya, Datuk Abd Manaf Hashim berkata, pihaknya difahamkan laporan audit forensik tersebut telah siap namun belum diserahkan kepada PAC untuk diteliti.

Beliau berkata, Perak Corporation Berhad (PCB) dan kerajaan Perak sudah pun membayar RM400,000 kepada PwC bagi mendapatkan laporan audit tersebut.

"PCB telah membayar RM200,000 manakala kerajaan negeri juga membayar RM200,000 bagi tujuan audit tersebut namun sehingga kini kita tidak terima laporan tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Audit MAPS: Bukan serangan politik ke atas Zambry

MAPS ditutup berkuat kuasa hari ini

"Kita telah menulis surat kepada PwC bagi meminta mereka mempercepatkan serahan laporan tersebut supaya boleh diteliti pada mesyuarat akan datang," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan mesyuarat PAC di Bangunan Perak Darul Ridzuan, di sini hari ini.

Hadir sama pada sidang akhbar itu, Timbalan Pengerusi PAC, Datuk Mohd Azhar Jamaluddin dan Ahli PAC, Mohd Noor Dawoo.

Artikel Berkaitan:

Pada 27 Mac 2019, PAC yang ketika itu dipengerusikan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Malim Nawar, Leong Cheok Keng memaklumkan bahawa jawatankuasa itu telah melantik PwC bagi menjalankan audit forensik ke atas MAPS.

Audit forensik tersebut dilakukan bagi menyiasat dakwaan berhubung peningkatan kos operasi MAPS daripada RM390 juta kepada RM607 juta.

Pada 28 Januari lalu, taman tema yang dibangunkan dengan kos RM520 juta ditutup menerusi notis yang dikeluarkan oleh The Receiver and Manager Animation Theme Park Sdn Bhd (ATP) daripada Messrs Ernst & Young.

Dalam perkembangan lain, Abd Manaf berkata, mesyuarat kali kedua PAC itu pada hari ini turut membincangkan mengenai perkara berbangkit berkaitan syarikat konsesi yang dilantik oleh kerajaan negeri iaitu Puncak Emas Infra Sdn Bhd.

Menurutnya, isu berkaitan syarikat konsesi tersebut dibangkitkan beberapa kali di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum ini malah mendapat rungutan daripada orang ramai mengenai kualiti perkhidmatan syarikat tersebut.

Jelas Abd Manaf, berdasarkan mesyuarat PAC bersama-sama wakil pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh Perak mendapati terdapat beberapa kelemahan yang ditemui.

"Antara perkara yang kita kesan terdapat hampir 900 kilometer jalan dan kawasan lapang yang tidak termasuk di dalam Sistem Maklumat Rekod-Rekod Jalan Raya Malaysia (Marris) menyebabkan kerja-kerja penyelenggaran tidak dapat dilaksanakan.

"Selain itu, prosedur operasi standard (SOP) yang digunakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) dan bukan PBT menyebabkan beberapa masalah timbul," katanya.

Beliau berkata, PAC akan terus meneliti perkara tersebut dan akan mendapatkan penjelasan daripada PBT sama ada sistem konsesi yang dilaksanakan itu menguntungkan rakyat atau sebaliknya.

Katanya, syarikat konsesi berkenaan menerima peruntukan RM185 juta setahun dengan kontrak selama lima tahun bersama kerajaan negeri.

Bagaimanapun menurut Abd Manaf, pihaknya akan mengkaji keberkesanan pelaksanaan tersebut sebelum mencadangkan sama ada menyambung kontrak berkenaan atau sebaliknya.