Hanya tinggal dua kedai di Wisma Punca Emas

Wisma Punca Emas yang terletak di laluan sibuk bandar Seremban di Jalan Dato Sheikh Ahmad kini sepi tanpa pengunjung.
Wisma Punca Emas yang terletak di laluan sibuk bandar Seremban di Jalan Dato Sheikh Ahmad kini sepi tanpa pengunjung.
A
A
A

SEREMBAN - Siapa sangka di sebalik bangunan Wisma Punca Emas di sini yang kelihatan seperti bangunan tinggal, masih ada peniaga yang meneruskan operasi.

Bangunan berusia lebih 30 tahun itu yang terletak di laluan sibuk bandar Seremban di Jalan Dato Sheikh Ahmad di sini, sepi tanpa penghuni selepas insiden kebakaran dua tahun lalu.

Sejak itu ramai peniaga yang terpaksa gulung tikar kerana kejadian itu telah mengakibatkan bekalan elektrik keseluruhan bangunan terputus, melainkan hanya dua premis yang masih terus beroperasi seperti biasa iaitu Tukang Jahit Gentlemen dan Klinik Janaki.

Pemilik Tukang Jahit Gentlemen, Chiew Chea Cheong, 65, berkata, dia memilih untuk terus beroperasi di bangunan itu kerana sudah selesa selain kadar sewanya yang murah.

"Sewanya hanya RM300 sebulan, tapi sekarang saya tak bayar apa-apa kerana bangunan ini tiada elektrik.

Chea Cheong masih menerima tempahan menjahit daripada pelanggan.
Chea Cheong masih menerima tempahan menjahit daripada pelanggan.

"Lagipun saya sudah ramai pelanggan tetap yang kebanyakannya Melayu dan mereka juga senang untuk datang ke sini," katanya.

Oleh sebab itu dia yang sudah menyewa di situ sejak tahun 1983 lagi mengambil inisiatif menggunakan generator untuk mendapatkan bekalan elektrik.

Artikel Berkaitan:

"Mahu tunggu bangunan ini ada elektrik semula pun saya tak tahu bila. Jadi, saya beli generator untuk dapat elektrik dan berkongsi dengan pemilik klinik di tingkat atas untuk beli petrol," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: RM1.2 juta tunggakan cukai bangunan Wisma Punca Emas

Pemilik Klinik Janaki, Dr Janaki Perumal,75, berkata, kliniknya mula beroperasi di bangunan itu sejak tahun 1984 selepas dia membeli tiga lot kedai di situ.

Katanya, selepas kebakaran berlaku, selama lapan bulan kliniknya terpaksa ditutup sebelum Chea Cheong mempelawanya berkongsi menggunakan generator.

"Ada yang cakap takutlah mahu datang kerana keadaan bangunan, tapi saya bersyukur kerana tidak pernah berlaku kejadian pelik dan mereka yang biasa dapatkan rawatan di klinik saya terus datang ke sini.

Dr Janaki memeriksa pesakit yang datang ke kliniknya yang telah beroperasi dari tahun 1984 sehingga sekarang.
Dr Janaki memeriksa pesakit yang datang ke kliniknya yang telah beroperasi dari tahun 1984 sehingga sekarang.

"Kami beroperasi dari jam 10 pagi sehingga 5.30 petang setiap hari dan menerima pesakit sekitar lima orang sehari," katanya.

Bercerita mengenai bangunan itu Janaki berkata, pada waktu dahulu, ia antara paling popular di Seremban dan menjadi tumpuan ramai.

Bagaimanapun katanya, sekitar tahun 2000 sedikit demi sedikit peniaga keluar berpindah ke tempat lain.

"Tapi saya tetap setia teruskan operasi di bangunan ini sehingga sekarang. Kalau saya sewa, saya tiada masalah untuk pindah.

"Tapi lot kedai ini milik saya dan jika saya tinggalkan, siapa pula yang mahu sewa dengan keadaan bangunan seperti ini sekarang. Lagipun bangunan ini sangat memberi nilai sentimental kepada saya," katanya.

Sementara itu pelanggan Klinik Janaki, C Dennesh, 30, berkata, sejak kecil jika tidak sihat, ibunya akan membawanya ke situ untuk mendapatkan rawatan dan kini menjadi klinik pilihannya dengan isteri.

"Saya boleh katakan klinik ini sudah jadi seperti klinik keluarga saya daripada nenek saya lagi, malah di bangunan Wisma Punca Emas inilah saya selalu dibawa oleh ibu dan ayah untuk berjalan-jalan.

"Sebab itulah sehingga sekarang saya terus datang ke klinik yang sama jika tidak sihat walaupun keadaan bangunan ini sangat menyedihkan sekarang," katanya.

Sinar Harian difahamkan terdapat 201 lot kedai di bangunan itu.