‘Insiden Kim Kim menguji saya’

Sahruddin berkongsi kenangan sewaktu berdepan insiden pencemaran Sungai Kim Kim ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
Sahruddin berkongsi kenangan sewaktu berdepan insiden pencemaran Sungai Kim Kim ketika ditemui Sinar Harian baru-baru ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Menteri Besar Johor, Datuk Dr Sahruddin Jamal mengakui insiden Sungai Kim Kim pada tahun lalu amat menguji dirinya yang ketika itu menjawat tugas Exco Kesihatan dan Alam Sekitar negeri.

Mengimbas kembali insiden itu, Sahruddin berkata, beliau ke lokasi kejadian sebaik mengetahui kejadian berkenaan bagi melihat sendiri apa yang terjadi dan kesannya kepada pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Pasir Putih dan Sekolah Kebangsaan (SK) Pasir Putih.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Kepong itu berkata, pengalaman sebagai doktor sebelum ini membuatkan dirinya tidak panik dengan insiden tersebut malah memahami cabaran yang dihadapi petugas kesihatan ketika itu.

“Saya tidak bersendirian pada waktu itu, semua pihak komited mencari punca dan seterusnya penyelesaian kepada insiden yang berlaku.

“Kerajaan negeri turut menerima kerjasama yang baik daripada pelbagai pihak termasuklah pertubuhan bukan kerajaan, institusi pengajian tinggi dan pihak industri,” katanya kepada Sinar Harian.

Tegasnya, kerajaan negeri Johor juga tidak berlengah dalam membuat keputusan kerana keutamaan sentiasa diberikan kepada penduduk yang berada di kawasan terjejas di Pasir Gudang.

“Peruntukkan kecemasan sebanyak RM6.4 juta diluluskan Mesyuarat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri ketika itu. Kerajaan juga mempercepatkan kerja-kerja pembersihan Sungai Kim Kim.

“Di samping itu, dua jawatankuasa ditubuhkan bagi memantau pencemaran di Pasir Gudang. Pertama, Jawatankuasa Kerja Teknikal dan Saintifik Pasir Gudang dan kedua Jawatankuasa Pemantauan,” katanya.

Artikel Berkaitan: