X

Kindly register in order to view this article
!

MBSA cat semula mural pemimpin negara diconteng

MBSA segera mengecat semula dinding yang memaparkan potret pemimpin negara yang telah diconteng di kawasan komersial, Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 hari ini.
A
A

SHAH ALAM - Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) mengambil tindakan pantas mengecat semula dinding memaparkan lukisan mural pemimpin negara yang telah diconteng di kawasan komersial Taman Cahaya Alam, Seksyen U12 hari ini.

Ketua Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA, Shahrin Ahmad berkata, pihaknya memandang serius tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang menconteng dengan kata-kata kesat mural pemimpin negara itu.

"Pihak MBSA telah mengambil langkah segera untuk mengecat semula dinding tersebut dengan cat berwarna putih.

"Dalam masa sama, satu laporan polis telah dibuat di Balai Polis Seksyen 6 berhubung contengan di mural tersebut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, tindakan vandalisme itu amat dikesali kerana mural tersebut diabadikan sebagai menghargai peranan dan sumbangan semua pihak khususnya pemimpin negara yang telah bekerja keras dan komited dalam menangani wabak Covid-19.

ARTIKEL BERKAITAN: Polis siasat kejadian conteng mural Agong, wira negara

"MBSA akan mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang melakukan vandalisme di tempat-tempat awam.

"Tindakan akan diambil di bawah Undang-Undang Kecil Vandalisme (MBSA) 2005 sekiranya didapati mana-mana pihak melakukan vandalisme," katanya.

Selain potret Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, potret Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah dan Duta Khas Perdana Menteri ke Timur Tengah, Datuk Seri Abdul Hadi Awang diconteng dengan kata-kata kesat.

Pada 10 Julai lalu, Yang di-Pertuan Agong dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah berkenan melawat mural gergasi potret pemimpin negara yang diabadikan pada sebuah dinding di Taman Cahaya Alam, Seksyen U12.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!