X

Kindly register in order to view this article
!

'Jangan kerana desakan hidup, sanggup bagi makan anak duit haram'

Tertuduh, Fazrul didapati bersalah kes salah guna kuasa bagi mendapatkan suapan daripada sebuah syarikat pembekalan dua tahun lalu.
A
A

KUALA TERENGGANU - "Jenayah salah guna kuasa melibatkan penjawat awam dilihat semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini. Jangan kerana desakan hidup, kamu sanggup bagi anak-anak makan duit yang haram. Jangan ulangi kesalahan sama dan bertaubatlah atas apa yang kamu lakukan."

Itu nasihat seorang Hakim Mahkamah Sesyen di sini ketika prosiding hukuman terhadap seorang penolong kanan pendaftar Universiti Malaysia Terengganu (UMT) berhubung pertuduhan salah guna kuasa, hari ini.

Hakim, Jamaludin Mat menjatuhi hukuman penjara lima tahun dan denda RM89,600 terhadap tertuduh, Fazrul En Hassan, 41, selepas didapati bersalah atas pertuduhan salah guna kuasa membabitkan kerja-kerja pembekalan kerusi dan meja simen berjumlah RM17,920.

Selain itu, tertuduh diperintahkan menjalani hukuman penjara 12 bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa menggunakan jawatannya untuk mendapatkan suapan daripada Syarikat Bari Bina Enterprise bagi kerja-kerja pembekalan 14 set kerusi dan meja simen berjumlah RM17,920 pada April 2018 di Pusat Pengajian Sains dan Asas UMT di Kuala Nerus.

Dia didakwa melakukan kesalahan mengikut Seksyen 23 (1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 yang memperuntukkan hukuman penjara tidak melebihi 20 tahun dan denda lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 yang mana lebih tinggi, jika disabit kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh manakala tertuduh diwakili peguam, Mohd Hayyatuddin Muhamad.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!