Berhijrah ke Chelsea ibarat tukar sekolah

Pulisic cuba mengawal bola biarpun diasak pemain lawan baru-baru ini. - Foto theprideoflondon.com
Pulisic cuba mengawal bola biarpun diasak pemain lawan baru-baru ini. - Foto theprideoflondon.com
A
A
A

PEMAIN Amerika Syarikat, Christian Pulisic, 21, menyifatkan perpindahannya dari Borussia Dortmund ke Chelsea musim panas lalu, lebih kepada sesi pertukaran sekolah.

Pulisic berkata, dia memerlukan masa untuk menyesuaikan diri dengan persekitaran baharunya selain memerlukan sedikit penghormatan daripada 'guru' baharu termasuk 'rakan-rakan sekelas' untuk membantunya membiasakan diri dengan sosio budaya yang memang asing buat dirinya.

Namun menurut Pulisic setelah hampir setahun dia sudah tidak lagi berasa asing dan berdasarkan kepada prestasi semasanya, dia kini menjadi pemain yang menyinar di Stamford Bridge.

"Perpindahan ini adalah sesuatu yang besar buat saya dan saya tidak boleh meramalkan apa yang akan berlaku. Saya cuma datang dengan minda yang terbuka.

"Sudah pasti ada rasa gementar apabila cuba membuktikan bahawa anda mampu beraksi dengan baik, itu perkara yang paling penting di sini.

"Bagaimanapun rakan-rakan sepasukan adalah yang terbaik; walaupun bukan semua akan menjadi sahabat kita dalam waktu yang singkat. Namun ia tidak mengapa," katanya.

Untuk rekod, sejak saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) kembali bersambung, Pulisic telah menjaringkan tiga gol dan mencipta tiga peluang gol dalam tujuh perlawanan dan membantu kemaraan skuad The Blues itu dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL).

Malah menurut Pulisic kehadirannya diharap mampu mengisi kekosongan dalam pasukan bimbingan Frank Lampard itu yang ditinggalkan pemain bintang, Eden Hazard.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Pulisic menyifatkan keyakinan sebagai satu perkara besar buat dirinya bagi meneruskan kecemerlangannya dalam bola sepak.

Malah katanya, dengan suasana persekitaran di EPL yang secara keseluruhannya bersifat profesional, rasa keyakinan itu dilihat mampu membantunya menjadi seorang pemain hebat di Stamford Bridge.

"Bagi saya, kesemua perkara ini adalah ibarat ketika anda berpindah ke sekolah baharu. Anda menemui sahabat baharu dan ia membuatkan anda merasa lega dan lebih selesa," katanya.