X

Kindly register in order to view this article
!

Malaysia bakal miliki kilang pengeluaran biosimilar

Khairy menyaksikan majlis MoU antara VentureTECH dan Duopharma Biotech Bhd di Putrajaya hari ini.- Foto Bernama
A
A

PUTRAJAYA - Malaysia dijangka mempunyai kilang pengeluaran biosimilar komersial pertama pada 2024 menerusi usaha sama membabitkan syarikat pelaburan impak sokongan kerajaan VentureTECH, Duopharma Biotech Sdn Bhd dan firma bioteknologi berpangkalan di Korea Selatan, PanGen Biotech Inc.

Syarikat-syarikat berkenaan telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) usaha sama bagi kemudahan itu yang disaksikan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin.

Menurut Khairy, pembangunan kilang tersebut akan membolehkan Malaysia mendapat akses terhadap lebih banyak rawatan yang lebih berpatutan, terutamanya bagi penyakit-penyakit kronik.

Malah, katanya, usaha itu juga bertepatan pada masanya ketika sebahagian besar rawatan biologi dijangka tamat pada masa akan datang.

“Sudah pasti kita mahu melihat sektor bioteknologi ini berkembang kerana ia dapat menggalakkan pelaburan dan lebih penting lagi untuk meningkatkan keselamatan kesihatan kita," katanya kepada pemberita selepas majlis pemeteraian MoU itu di sini hari ini.

Dalam majlis MoU itu, VentureTECH diwakili Pengarah Urusannya, Dr Norida Abd Rahman manakala Duopharma Biotech Bhd diwakili Pengarah Urusan Kumpulannya, Leonard Ariff Abdul Shatar di Putrajaya hari ini.

Turut hadir, Ketua Setiausaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Ir Dr Siti Hamisah Tapsir.

Khairy berkata, penglibatan dalam sektor biologi misalnya membabitkan kos tinggi, namun bidang biosimilar sebaliknya lebih mudah untuk disertai Malaysia kerana dapat menjimatkan perbelanjaan penyelidikan.

Sementara itu, syarikat-syarikat terbabit dalam kenyataan bersama berkata VentureTECH akan melabur sejumlah RM15 juta dalam usaha sama itu bagi membangunkan kemudahan pengeluaran serta menghasilkan ubat-ubatan biosimilar untuk menampung permintaan pasaran domestik dan eksport.

"Sebagai pelabur impak, VentureTECH mempunyai matlamat untuk mewujudkan impak sosioekonomi yang penting serta berkesan dalam setiap keputusan pelaburan yang seiring dengan penekanan terhadap pembangunan industri tempatan," kata kenyataan itu.

Antara impak lain yang berpotensi daripada sinergi itu adalah menjana pekerjaan kemahiran tinggi, meningkatkan permintaan bagi pekerja tempatan yang berkemahiran tinggi khususnya dalam produk biofarmaseutikal bernilai tinggi.

Selain itu, ini juga dapat menggalakkan pelaksanaan teknologi dalam penghasilan penjagaan kesihatan terutamanya penyakit-penyakit kronik yang memerlukan rawatan biosimilar pada kadar lebih berpatutan untuk masyarakat, khususnya golongan B40 dan M40, kata kenyataan itu. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!