X

Kindly register in order to view this article
!

Rasuah: 8 individu ditahan terlibat daftar akaun e-perolehan

SPRM tahan lapan individu disyaki terlibat daftar akaun e-perolehan babitkan sebuah kementerian.
A
A

KUALA LUMPUR - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menahan lapan individu kerana disyaki terlibat dalam kes rasuah dan penyalahgunaan kuasa berhubung pendaftaran akaun baharu e-perolehan melibatkan sebuah kementerian.

Menurut sumber, selain permohonan akaun e-perolehan, semua individu berusia 30 hingga 47 tahun yang ditahan di Putrajaya dan Kuala Lumpur dalam operasi petang tadi itu juga disyaki terlibat urusan permohonan status bumiputera syarikat di sekitar Lembah Klang.

Sumber SPRM berkata, bagi mempercepatkan proses pendaftaran akaun e-perolehan baharu dan mendapatkan status syarikat bumiputera, sindiket itu mengenakan bayaran antara RM500 hingga RM3,500 untuk setiap permohonan.

“Status bumiputera akan diluluskan dalam tempoh 24 jam dan dibuat tanpa mengikut prosedur yang ditetapkan.

“Daripada lapan yang ditahan itu, lima individu ialah kakitangan di Unit Pendaftaran Syarikat kementerian itu manakala yang lain adalah orang awam,” katanya.

Sumber juga berkata, risikan yang dijalankan selama enam bulan mendedahkan kegiatan sindiket itu bermula sejak 2017 dan ratusan ribu ringgit wang rasuah dikutip sindiket daripada syarikat di sekitar Lembah Klang.

“Kesemua suspek dihadapkan ke Mahkamah Majistret Putrajaya esok bagi permohonan reman di bawah seksyen 117 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Operasi) SPRM Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaya ketika dihubungi mengesahkan kesemua tangkapan berkenaan.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 16(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009,” katanya. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus