'Tak manis bincang kekosongan kerusi sekarang'

Saarani Mohamad
Saarani Mohamad
A
A
A

IPOH - UMNO Perak menyerahkan kepada pimpinan UMNO Pusat untuk membuat sebarang kenyataan berhubung kekosongan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Slim berikutan kematian penyandangnya, Datuk Mohd Khusairi Abdul Talib semalam.

Pengerusinya, Datuk Saarani Mohamad berkata, pihaknya tidak mahu membuat keputusan atau apa-apa kenyataan yang mendahului parti dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) demi menghormati keluarga Allahyarham.

"UMNO punya disiplin sendiri iaitu kita serah kepada UMNO Malaysia untuk umumkannya. Pada 24 Julai ini akan diadakan mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) dan di situ kita akan bincang.

"Mungkin selepas itu presiden parti akan membuat pengumuman," katanya selepas melancarkan Geran Usahawan Perak (Gerup) di Pusat Pembangunan Usahawan PKNP di sini hari ini.

Menurutnya, adalah sebaiknya mana-mana kenyataan sama ada daripada individu atau mewakili parti mengenai kekosongan kerusi DUN berkenaan dibuat selepas kenyataan rasmi dikeluarkan SPR.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Saarani pada pelancaran Geran Usahawan Perak (Gerup) di Pusat Pembangunan Usahawan PKNP hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif SME Corp Malaysia, Noor Azmi Mat Said (kiri) menyampaikan cenderahati kepada Saarani pada pelancaran Geran Usahawan Perak (Gerup) di Pusat Pembangunan Usahawan PKNP hari ini.

"Saya masih terkesan dan sedih kehilangan seorang rakan, jadi tak manis kalau dalam tempoh ini saya keluarkan kenyataan yang mengguris perasaan orang lain," katanya.

Dalam pada itu, Saarani berkata, Speaker DUN Perak, Datuk Mohamad Zahir Abdul Khalid sudah dimaklumkan mengenai kematian Allahyarham melalui satu surat rasmi yang dihantar petang tadi.

Artikel Berkaitan:

"Selaku pengerusi, saya baru tandatangan surat daripada BN Perak untuk maklumkan kepada Speaker bahawa seorang ADUN BN sudah meninggal dunia semalam dan dikebumikan pagi tadi.

"Surat itu sudah pun sampai ke meja beliau hari ini dan mengikut prosedurnya apabila Speaker dapat surat berkenaan, beliau akan maklumkan pula kekosongan kerusi DUN kepada SPR dan barulah satu ketetapan dibuat sama ada pilihan raya kecil (PRK) akan diadakan atau tidak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN: ADUN Slim meninggal dunia

PKR Perak sedia letak calon DUN Slim

UMNO kritik PKR tak sabar umum letak calon di DUN Slim