Marjenah pertahan seni pembuatan labu sayong tradisional

KUALA LUMPUR - Peredaran zaman menyaksikan teknik pembuatan asal labu sayong yang bergantung sepenuhnya pada kemahiran tangan kini semakin dilupakan, seiring peralihan kepada penggunaan acuan moden yang memudahkan proses menghasilkan kraf itu.
Marjenah Sulaiman, 63, merupakan antara segelintir pengusaha labu sayong di Kampung Kepala Bendang, Sayong, Kuala Kangsar, Perak yang masih mempertahankan kaedah pembuatan tradisional meskipun rata-rata pengusaha lain sudah beralih kepada kaedah moden yang lebih mudah dan menguntungkan.
Beliau berkata, secara asasnya terdapat tiga kaedah penghasilan labu sayong iaitu teknik picitan menggunakan tangan, lempar alin (throwing) yang membentuk tanah liat menggunakan tangan di atas roda pemutar serta teknik acuan yang membolehkan tembikar dihasilkan dengan lebih cepat dan dalam kuantiti yang banyak.
"Saya memang minat teknik throwing kerana kerja bermain dengan selut ini mencabar dan sukar ditiru. Kalau guna acuan, sesiapa pun boleh buat dengan cepat kerana lebih mudah, sedangkan kerja menggunakan tangan memerlukan kemahiran tinggi.
"Kalau kita minat sesuatu, benda susah pun jadi senang. Sebab itu saya suka menghasilkan bentuk kecil berukuran kira-kira empat sentimeter serta hiasan bunga ros kerana bukan semua orang mampu membuatnya," katanya kepada Bernama selepas mengadakan demonstrasi pembuatan Labu Sayong bersempena dengan program Nostalgia Anak Kampung 2026 di sini, baru-baru ini.

Marjenah yang mendalami bidang seramik secara formal menerusi latihan di Perbadanan Kemajuan Kraftangan Malaysia (Kraftangan Malaysia) berkata penghasilan secara manual itu menuntut ketelitian tinggi pada setiap peringkat kerja sebelum dibakar.
"Selepas dibentuk, kita kena kemaskan bahagian bawah, licinkan permukaan luar dan ukir motif bunga satu per satu guna tangan. Proses mengeringkan pun kena jaga betul-betul supaya tidak merekah sebelum dibakar," katanya.

Menurutnya, labu sayong yang dihasilkan secara manual mempunyai keunikan tersendiri kerana setiap tembikar dibentuk menggunakan tangan, berbanding penggunaan acuan yang menghasilkan bentuk lebih seragam.
"Perbezaan dapat dikenal pasti melalui permukaan bahagian dalam tembikar, iaitu hasil picitan mempunyai kesan beralun atau berkedut akibat tekanan jari, manakala hasil acuan lebih licin dan sekata," katanya.
Beliau berkata, bilangan pengusaha yang mahir menghasilkan labu sayong secara tradisional di Kampung Kepala Bendang kini semakin berkurangan apabila ramai penggiat generasi terdahulu meninggal dunia atau tidak lagi berdaya meneruskan perusahaan itu akibat faktor usia.
"Kalau orang muda berminat, datanglah jumpa saya. Walaupun sudah berumur atau masih muda, kalau ada minat, datanglah. Saya boleh mengajar, saya bukan kedekut ilmu," katanya.
Mengimbau pengalaman ketika berusia 20 tahun, Marjenah berkata, dulu beliau mendapatkan sendiri bahan mentah dengan mengambil tanah liat dari kawasan berhampiran sungai yang kemudian diangkut menggunakan basikal.
Namun berikutan faktor usia, anak ketiga daripada lima beradik itu kini mendapatkan bekalan tanah liat daripada pembekal.
"Saya masih melakukan sendiri proses menjemur, menumbuk menggunakan lesung dan mengayaknya sebelum diuli dengan air. Malah, pelajar sekolah dan penuntut universiti yang datang belajar pun pernah berpesan supaya saya jangan tinggalkan seni tumbuk tanah ini.
"Mereka kata kalau saya tidak kekalkan cara tradisional ini, siapa lagi yang hendak meneruskannya? Memang sekarang sudah tidak ramai yang mengamalkannya," katanya.
Bagi memastikan kemahiran itu terus diwarisi, beliau kini lebih banyak memenuhi undangan mengadakan demonstrasi dan bengkel di sekolah, institusi pengajian tinggi serta program anjuran pelbagai agensi berbanding mengusahakannya secara komersial.
"Saya juga menerima kunjungan mereka yang berminat mempelajari seni ini di bengkel kecil saya yang dibina oleh arwah adik saya kira-kira tiga dekad lalu," katanya.
Keunikan seni pembuatan tembikar secara tradisional itu turut menarik perhatian penuntut Sarjana Kesihatan Awam Universiti Malaya dari Jordan, Katia Hazim, 27, apabila berpeluang mencuba sendiri pembuatan labu sayong pada program berkenaan.
"Ini kali pertama saya mencuba seni tembikar dan pengalaman ini sangat mengujakan. Bahagian paling mencabar ialah memastikan bentuknya seimbang serta simetri pada setiap sisi supaya kelihatan menarik, dan jika berpeluang saya mahu memperkenalkannya di negara asal saya," katanya.
Sementara itu, guru Pendidikan Seni Visual Sekolah Kebangsaan AU Keramat, Shahanim Mohd Shahar berkata, pengalaman mencuba semula seni pembuatan tembikar membawa ingatannya ketika mempelajari bidang seramik di universiti, selain melihat aktiviti berkenaan sebagai peluang memperkenalkan seni warisan kepada generasi muda.
"Memang seronok dapat mengimbau kenangan ketika belajar dahulu. Di sekolah rendah, pendedahan kepada seni seramik agak terhad kerana kebanyakan aktiviti tertumpu pada lukisan atau penggunaan plastisin.
"Baru-baru ini, kami menjemput Kraftangan Malaysia ke sekolah untuk mengadakan aktiviti menggunakan tanah liat sebenar membabitkan kira-kira 250 murid. Mereka sangat teruja dan seronok kerana berpeluang mencuba sendiri teknik picitan menggunakan tangan," katanya.- Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

