X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Rosmah minta 15 peratus daripada RM1.25 bilion projek solar: Saksi

Isteri bekas perdana menteri Datin Seri Rosmah Mansor, 68, yang berdepan satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima suapan sebanyak RM6.5 juta, daripada Pengarah Urusan Jepak Holdings Saidi Abang Samsudin, hadir di Mahkamah Tinggi hari ini pada hari ke-15 perbicaraan kes itu. - Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR- Saksi ke-16 pendakwaan, Rayyan Radzwill memberitahu Mahkamah Tinggi hari ini, Datin Seri Rosmah yang merupakan isteri kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak meminta 15 peratus bayaran daripada jumlah keseluruhan projek solar hibrid bernilai RM1.25 bilion.

Rayyan yang juga rakan niaga kepada Pengarah Urusan Jepak Holdings, Saidi Abang Samsudin berkata, dalam pernyataan saksinya di mahkamah hari ini, jumlah 15 peratus berkenaan adalah bersamaan RM187.5 juta.

Rayyan berkata, pada pertemuan antara beliau dan Saidi serta Rosmah di rumah isteri bekas Perdana Menteri itu di Jalan Langgak Duta pada Januari atau Februari 2016, Rosmah berkata kepada mereka, "keadaan politik sekarang memang memerlukan banyak wang" dan "kita tengoklah nanti."

Rayyan menambah, pertemuan itu adalah bagi membincangkan sokongan Rosmah dalam projek solar hibrid dan sumbangan yang perlu diberikan Jepak kepadanya (Rosmah) atas bantuan yang diberikan.

Beliau berkata, pertemuan yang berlangsung selama 10 minit, Saidi terlebih dahulu menawarkan sumbangan 10 peratus daripada nilai keseluruhan projek seperti diingatkan Pegawai Khas Rosmah, Datuk Rizal Mansor sebelum itu supaya membuat tawaran bermula daripada kadar 10 peratus.

"Pada sebelah petang pada hari sama, Datuk Rizal berjumpa saya dan Saidi di Lygon Bistro, Sunway Putra Mall, dalam pertemuan itu Rizal beritahu semuanya 'okay' cuma peratus sumbangan perlu dinaikkan kepada 15 peratus kerana Rosmah inginkan 15 peratus.

"Saidi berkata, jumlah itu tinggi dan ia perlu dikurangkan sedikit kerana beliau perlu jaga ramai orang lagi dan Rizal beritahu, beliau akan semak dan maklum kembali...Rizal juga minta bahagian dia sebanyak RM5 juta setahun selama lima tahun daripada Saidi. Saidi kata 'okay' tanda setuju.

"Pada keesokan hari, Rizal menghubungi saya melalui telefon dan menyatakan nilai 15 peratus iaitu RM187.5 juta itu adalah muktamad dan tidak boleh diubah... Rizal beritahu saya untuk maklumkan kepada Saidi," katanya.

Rayyan berkata demikian ketika membacakan pernyataan saksinya pada perbicaraan kes rasuah dihadapi Rosmah berhubung projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak.

Perbicaraan di hadapan Hakim Mohamed Zaini Mazlan bersambung esok.

Rosmah, 68, dibicarakan atas satu pertuduhan meminta RM187.5 juta dan dua pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM6.5 juta daripada Pengarah Urusan Jepak, Saidi Abang Samsudin menerusi bekas pembantunya, Datuk Rizal Mansor bagi projek membekalkan tenaga solar bernilai RM1.25 bilion kepada 369 sekolah luar bandar di Sarawak.

Rosmah dituduh melakukan perbuatan itu di tiga tempat berasingan iaitu di Lygon Cafe, Sunway Putra Mall, Jalan Putra; kediamannya di Jalan Langgak Duta, Taman Duta; di kediaman Seri Perdana, Persiaran Seri Perdana, Presint 10, Putrajaya, antara Januari 2016 dan 7 September 2017.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!