Kerajaan kaji semula dasar penebusan GCR

Takiyuddin Hassan
Takiyuddin Hassan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berhasrat mengkaji semula dasar penebusan Ganti Cuti Rehat (GCR) kepada wang tunai selama 75 hari yang diumumkan dalam Belanjawan 2020 lalu kerana dilihat tidak menguntungkan penjawat awam.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang), Datuk Takiyuddin Hassan berkata, terdapat dua simulasi bagi memperjelaskan perkara tersebut.

Menurutnya, sebagai contoh jika seorang pegawai bergred M54 menebus GCR apabila bersara penuh, mereka akan mendapat sejumlah RM55,107.90

“Tetapi jika mereka menebus dalam masa perkhidmatan dengan mengambil penebusan selama 75 hari, mereka mendapat RM15,355.05 dan kemudian semasa bersara, mereka mendapat RM27,553.95

“Jumlah kedua-dua mereka dapat hanya RM42,909 berbanding kalau mereka mengambil semasa bersara penuh.

“Bezanya mereka rugi sebanyak RM12,198.90. Jadi atas dasar inilah kerajaan sekarang ini bercadang mengkaji semula untuk faedah dan kepentingan penjawat awam,” katanya pada Mesyuarat Kedua Persidangan Dewan Rakyat Penggal Ketiga Parlimen Ke-14 di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan tambahan daripada Shaharizukirnain Abd Kadir (Pas-Setiu) mengenai status pelaksanaan penebusan GCR kepada wang tunai selama 75 hari bagi penjawat awam yang berkhidmat selama 15 tahun seperti diumumkan dalam pembentangan Belanjawan 2020.

Menurut Takiyuddin, bentuk pelaksanaan baharu bagi dasar tersebut belum diputuskan kerana masih dalam kajian.

Artikel Berkaitan:

“Boleh jadi dikekalkan dasar dibuat pada Belanjawan 2020 dengan pemambahbaikan dengan memikirkan kerugian penjawat atau dasar baharu.

“Belum diputuskan lagi,” katanya bagi menjawab soalan tambahan daripada Akmal Nasrullah Mohd Nasir (PKR-Johor Bharu).