X

Kindly register in order to view this article
!

Penganggur cecah 860,000 orang tahun ini

Muhyiddin Yassin
Muhyiddin pada hari pertama Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga, Parlimen Ke-14 di Bangunan Parlimen hari ini. Foto: Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Jabatan Perangkaan mengunjurkan kadar pengangguran di Malaysia adalah sebanyak 5.5 peratus atau 860,000 orang bagi tahun 2020.

Bagaimanapun Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, pasaran buruh dijangka mulai pulih pada akhir tahun ini.

Menurutnya, ia berikutan langkah kerajaan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang membolehkan operasi perniagaan dibuka sepenuhnya pada 10 Jun lalu.

"Dalam usaha menangani kadar pengangguran yang semakin meningkat, kerajaan telah memperuntukkan hampir RM15 bilion melalui Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) dan Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana) untuk dapat membantu hampir 3.3 juta rakyat yang terkesan dengan Covid-19.

"Antara inisiatif tersebut adalah seperti Program Subsidi Upah, Program Insentif Pengambilan Pekerja dan Bantuan Latihan.

"Selain itu, kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonomi sedang dalam proses penyediaan pelan pemulihan ekonomi bagi jangka panjang dan akan dibentangkan pada Oktober ini," katanya pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Rubiah Wang (GPS - Kota Samarahan) berhubung kedudukan ekonomi semasa, prestasi pertumbuhan ekonomi negara dan kadar pengangguran masa kini di Malaysia.

Sementara itu, mengulas mengenai pertumbuhan ekonomi negara, beliau berkata, ekonomi Malaysia telah berkembang sebanyak 0.7 peratus pada suku pertama tahun ini.

Katanya, kadar pertumbuhan itu lebih baik daripada jangkaan kebanyakan pakar ekonomi meskipun berhadapan dengan persekitaran ekonomi dan perdagangan global yang mencabar terutamanya disebabkan oleh pandemik Covid-19.

"Pertumbuhan yang perlahan ini berikutan aktiviti ekonomi yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa pertama bermula 18 Mac sehingga 31 Mac 2020 bagi mengawal penularan Covid-19," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus