Bersatu juga ada maruah, kata Zainol Fadzi

Zainol Fadzi Paharudin
Zainol Fadzi Paharudin
A
A
A

IPOH - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Perak meluahkan kekecewaan dengan cadangan pembubaran parti itu oleh Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad pada Khamis lalu.

Setiausaha Bersatu Perak, Datuk Zainol Fadzi Paharudin berkata, sebagai pemimpin yang bersama-sama dalam Perikatan Nasional (PN), kenyataan yang dikeluarkan itu menggores perasaan ahli-ahli parti.

Menurutnya, sebarang kenyataan yang boleh membawa kepada perpecahan tidak harus dikeluarkan bagi menjaga hubungan baik antara parti di dalam PN.

"Pemimpin utama Bersatu sama ada Perdana Menteri di Pusat dan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu telah melayan pelbagai kehendak UMNO. Mereka sanggup korbankan perasaan ahli Bersatu demi menyelamatkan negara, perpaduan bangsa serta mempertahankan agama dan tanah air.

"Buat apa cakap kepada perpecahan, hina sangatkah Bersatu? Bersatu juga ada maruah dan matlamat perjuangan. Parti bukan agama, janganlah bawa watak pembuli yang tak habis-habis itu? katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas cadangan Saarani sebelum ini agar Bersatu dibubarkan dan semua ahli menyertai semula UMNO seperti yang pernah dilakukan oleh Parti Semangat 46.

ARTIKEL BERKAITAN - Bubar sahaja Bersatu, kata pemimpin UMNO

Zainol Fadzi berkata, rakyat sedang memerhati pakatan tiga parti di dalam PN dengan harapan mereka boleh mendapat manfaat melalui gabungan parti-parti ini.

Artikel Berkaitan:

Katanya, tindakan cabar-mencabar di antara pemimpin UMNO dan Bersatu akan memburukkan lagi imej PN dalam kalangan rakyat.

ARTIKEL BERKAITAN - 'Jangan samakan Bersatu dengan Semangat 46'

Semalam, Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Bersatu Perak menyifatkan tindakan menyamakan Bersatu dengan Semangat 46 dalam isu bubar parti adalah satu kenyataan yang lemah.