'Semua parti boleh edar borang Kad Perak Sejahtera'

Salbiah menjawab soalan tambahan ketika sesi Soalan Lisan sempena Sidang DUN Perak pada Isnin.
Salbiah menjawab soalan tambahan ketika sesi Soalan Lisan sempena Sidang DUN Perak pada Isnin.
A
A
A

IPOH - Kerajaan negeri Perak tidak menetapkan mana-mana parti untuk mengedarkan borang permohonan Kad Perak Sejahtera sebaliknya semua pihak boleh mendapatkan borang tersebut melalui Sekretariat Pembangunan Wanita Negeri Perak.

Exco Pembangunan Wanita, Keluarga, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Perak, Salbiah Mohamed berkata, Program Kad Perak Sejahtera atau dikenali sebagai Program Kad Perak Prihatin sebelum ini telah dilaksanakan sejak tahun 2019.

Menurutnya, kerajaan negeri kekal dengan pendirian 'buta warna' dalam soal kebajikan kerana ia melibatkan soal kemanusiaan bukan politik malah pandangan kononnya ada unsur politik kepartian adalah tidak benar.

"Jadi tak ada masalah sekiranya DAP, UMNO atau Pas nak download borang tersebut dan edarkan kepada pemohon-pemohon untuk diisi kerana kita akan buat tapisan dalam Mesyuarat Pengurusan Jawatankuasa Kad Perak Sejahtera.

"Jadi salah ke sekiranya UMNO mengambil inisiatif untuk muat turun borang tersebut dan diedarkan kepada rakyat di kawasan masing-masing," katanya ketika menjawab soalan tambahan Azizi Mohamed Ridzuwan (PN-Lubok Merbau) sempena Sidang Dewan Undangan Negeri Perak pada Isnin.

Sementara itu, Salbiah berkata, kerajaan negeri telah menjalankan proses pemutihan dan siasatan di lapangan bersama Jabatan Audit, penghulu dan pihak berkepentingan untuk melihat sendiri proses mengenal pasti status pemegang kad.

Katanya, hasil daripada itu, Jawatankuasa Pengurusan Program Perak Sejahtera Bil 1/2023 pada 28 Februari 2023, sejumlah 3,831 orang penerima telah ditamatkan daripada menerima bantuan ini kerana meninggal dunia dan atas faktor lain.

Beliau berkata, inisiatif dan usaha berterusan itu dilakukan dalam memastikan segala peruntukan dapat dimanfaatkan sebaik mungkin kepada kumpulan sasar, maka kerajaan berjaya membuka ruang kepada rakyat Perak yang layak untuk terus memohon bantuan ini.

Dalam soalan lisan yang dikemukakan, Azizi memohon penjelasan kerajaan negeri mengapa permohonan tersebut dilakukan secara senyap-senyap atau tertutup selain dilakukan melalui perantaraan parti, bukannya pejabat penghulu atau wakil rakyat.