Surau dibuka waktu tertentu

Normala menunjukkan surau yang di terminal bas di Segamat yang dibuka pada waktu tertentu sahaja.
Normala menunjukkan surau yang di terminal bas di Segamat yang dibuka pada waktu tertentu sahaja.
A
A
A

SEGAMAT - Kemudahan surau di Terminal Pengangkutan Bas Segamat diminta dibuka setiap masa bagi memudahkan penganut Islam.

Penyelia Pusat Aduan Rakyat Dun Pemanis, Normala Sudirman berkata, kemudahan itu tidak seharusnya ditetapkan pada satu masa kerana terminal merupakan kawasan utama mengambil dan menurunkan penumpang bas tanpa mengira waktu.

Ujar Normala, pusat aduan Pas menerima rungutan dan pandangan apabila ada penganut Islam mendakwa sukar menunaikan solat di terminal berkenaan.

“Ada tiga tempat untuk bersolat iaitu surau di terminal ini, kedua di stesen minyak Shell di belakang terminal atau pilihan terakhir di stesen kereta api yang terletak berhadapan lokasi ini.

“Dua surau itu boleh digunakan setiap masa sekiranya surau di terminal ini dikunci. Namun, yang menjadi kebimbangan adalah jarak untuk menuju ke pam minyak atau di stesen keretapi kerana ia agak jauh sekiranya berjalan kaki,” katanya kepada Sinar Harian.

Menurutnya, selain itu, laluan dari terminal kedua surau luar yang tidak berbumbung itu menyebabkan soal keselamatan dirasakan longgar.

“Bila berjalan kaki ke surau di pam minyak atau stesen kereta api, kita perlu berjalan kaki di laluan jalan raya yang agak sunyi di waktu malam. Jadi, ia membimbangkan golongan Muslim khususnya golongan wanita jika nak berjalan sendirian.

“Selain itu, bagi saya, kedudukan daerah Segamat yang sering menjadi lokasi utama bas ekspres dari Pantai Timur untuk menurun dan mengambil penumpang ini menyebabkan surau dan tandas di terminal di sini merupakan keperluan penting,” katanya ketika ditemui.

Artikel Berkaitan:

Normala berkata, justeru, pihaknya mencadangkan agar kemudahan surau terminal itu dipindahkan di tingkat atas ekoran aras berkenaan lebih terbuka.

“Dimaklumkan kawasan bawah ini terpaksa berkunci kerana peniaga bimbang jika kedai mereka dipecah masuk. Jadi saya berpendapat mungkin surau lelaki dan wanita ini boleh dipindahkan di tingkat atas sebab aras itu tidak dikelilingi roller shutter di setiap penjuru bangunan.

“Selain memberi kemudahan, ruang surau ini juga boleh menjadi lokasi untuk wanita terutama pelajar dari IPT di sini berehat dan berlindung sebab saya faham di sebelah malam, ada kumpulan warga asing atau individu yang meminta wang sering berlegar di sini.

“Jadi, bila mereka terpaksa tiba awal pagi dalam lebih kurang jam empat atau lima pagi yang mana keadaan masih lagi sunyi, mereka boleh duduk di surau berbanding di luar kawasan bangunan,” katanya.

Selain itu, Normala turut memberi cadangan agar menggantikan pejabat Penerangan di hadapan terminal ini sebagai sebuah surau berikutan kawalan keselamatan itu lebih lengkap.

“Ia dikelilingi pagar selain kawasannya lebih sesuai dan selesa dijadikan sebuah surau. Mungkin, Jabatan Penerangan Daerah Segamat boleh dipindahkan ke premis lain berhampiran pejabat kerajaan lain memandangkan ini sahaja sebuah pejabat kerajaan ini yang masih beroperasi berhampiran terminal ini,” katanya.